KOTA BHARU: Kelantan FC meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini apabila menewaskan Penang FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Kelantan FC yang terdesak memburu kemenangan selepas kalah dua kali berturut-turut sebelum ini bermula garang apabila melancarkan serangan ke kubu pelawat untuk memburu jaringan awal.
Minit ke-22 Ishmaheel Akinade menggamatkan Stadium Sultan Muhammad IV apabila meledak jaringan pertama menerusi tandukan kencang selepas menerima umpanan menarik Muhammad Ghaffar Abdul Rahman.
Penyokong The Red Warriors (TRW) terus berpesta selepas itu apabila Mohamad Fazrul Amir Md. Zaman meledakan jaringan pada minit ke-36 untuk mengukuhkan kedudukan menjadi 2-0.
Pasukan pelawat berpeluang merapatkan jurang gol apabila dihadiahkan sepakan percuma di hadapan kotak penalti tuan rumah namun gagal dimanfaatkan oleh Aparecido Narcizo Adriano dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Ketinggalan dengan dua jaringan, pelawat cuba bangkit pada babak kedua dengan melancarkan serangan sebaik sahaja wisel ditiup oleh pengadil.
Kelantan FC bagaimanapun, terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Christian Rontini diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-66 akibat menarik Hassan Saad.
Seminit berselang, Hassan pula dilayangkan merah akibat tindakannya menyiku kapten Kelantan FC, Mario Arques menyebabkan kem pelawat turut kehilangan seorang pemain di atas padang.
Harimau Kumbang hampir berjaya merapatkan jurang pada minit ke-74 namun sepakan percuma diambil Adriano terkena palang manakala tandukan susulan oleh Gomes Giovane seminit kemudian berjaya ditangkap kemas penjaga gawang TRW, Nik Mohd. Amin Ahmad.
Usaha bertali-arus pelawat untuk merapatkan jurang jaringan gagal apabila benteng pertahanan Kelantan FC kekal bertahan sekali gus menyaksikan tiga mata pertama menjadi milik mereka.-UTUSAN ONLINE