Kedah sedia tukar rumput Zeon Zoysia kalau semua ‘percuma’

Kedah sedia tukar rumput Zeon Zoysia kalau semua ‘percuma’

PADANG di Stadium Darul Aman ketika ini dalam keadaan baik dan kerajaan negeri tidak bercadang menukar kepada rumput kecuali kos ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah mengalu-alukan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar semua stadium di negara ini ditukar kepada rumput Zeon Zoysia yang berkualiti, namun mereka hanya bersetuju menerima geran ditawarkan jika semua kos ditanggung oleh KBS.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, persetujuan tertakluk kepada syarat bahawa peruntukan menaiktaraf berkenaan disediakan sepenuhnya oleh kerajaan.

“Tentu sekali kerajaan ne­geri bersetuju dengan cadangan tersebut iaitu menukar rumput biasa yang ada sekarang kepada rumput yang berkualiti di Stadium Darul Aman.

“Kita sangat bersetuju sekiranya semua peruntukan terma­suk penyelenggaraan sebelum dan selepas itu yang dijangka menelan kos berjuta-juta ringgit disediakan oleh kerajaan.

“Jika kerajaan negeri yang harus sediakan semua kos itu, tak mengapalah kerana kualiti rumput di Stadium Darul Aman masih pada tahap terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bahawa kerajaan akan menyediakan geran kepada semua negeri bagi membolehkan stadium di negeri masing-­masing menukar rumput jenis Zeon Zoysia yang lebih berkualiti.

Begitupun katanya, KBS akan membayar kos untuk menanam rumput tetapi penyelenggaran perlu dilakukan oleh negeri.

Menurut Mohd. Firdaus, keadaan rumput di Stadium Darul Aman masih dalam baik dan cadangan untuk mengeluarkan peruntukan awal daripada ‘kocek’ kerajaan negeri tidak bersesuaian dengan ­situasi ekonomi ketika ini.

“Kita memperkatakan tentang keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini. Kalau kerajaan negeri harus keluarkan peruntukan untuk buat semua itu (tukar rumput berkualiti), kita rasa itu tidak sesuai.

“Lebih baik kita bina rumah untuk orang miskin di negeri ini yang lebih memerlukan daripada semua itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya menghadiri pertemuan dengan KBS pada Februari lepas yang membincangkan cadangan tersebut, namun masih belum dimuktamadkan sehingga kini.

“Belum diperincikan cada­ngan itu oleh KBS sehingga kini. Kita tunggulah bagaimana penjelasan lanjut mereka nanti,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya