KOTA BHARU : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meraih mata penuh apabila menewaskan Kelantan United FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, tuan rumah terlebih dahulu mencetak jaringan pada minit ke-22 menerusi rembatan kencang Devid De Santana Silva selepas menerima hantaran lintang daripada Jose Elmer Porteria.

Tiga minit berselang, Kelantan United hampir menambah jaringan melalui tandukan Silva namun berjaya dinafikan penjaga gawang Kedah Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Lira Sousa memastikan perlawanan kembali seimbang apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-34 selepas bijak melompak tinggi untuk menanduk bola lambungan Lee Tuck hasil sepakan penjuru.
Minit ke-44, Manuel Hidalgo mengukuhkan kedudukan Kedah menjadi 2-1 apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti sekaligus memberikan kelegaan kepada pasukannya menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, serangan bertali-arus pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila Mohamad Al Hafiz Harun mencetak gol ketiga Kedah pada minit ke-79.
Kelantan United kembali merapatkan jurang jaringan kepada 2-3 pada minit ke-88 menerusi sepakan penalti Yan Victor.
Bagaimanapun jaringan itu sudah terlambat apabila keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan bagi membolehkan Kedah pulang dengan tiga mata penuh-UTUSAN ONLINE.