PETALING JAYA: Permulaan yang sempurna buat atlet renang negara, Phee Jin En apabila berjaya mengungguli acara 100 meter kuak dada pada hari pertama Kejohanan Renang Terbuka Malaysia kali ke 65 yang membuka tirai hari ini.
Aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Jinq En mewakili Persatuan Renang Amatur Selangor berjaya mencatatkan 1 minit 10.06 saat untuk memenangi emas, menewaskan perenang Taiwan, Chieh Yu Hung yang melakar masa 1 minit 10.39 saat untuk meraih perak, sementara Tan Rou Xin yang mewakili Persatuan Renang Amatur Johor di tempat ketiga dengan catatan 1 minit 12.26 saat.
Biarpun sudah mengesahkan tempat ke Sukan Sea Kemboja Mei depan, perenang berusia 25 tahun masih belum berpuas hati memandangkan tidak banyak kejohanan yang disertainya untuk tahun ini.
“Ini merupakan kejohanan pertama saya untuk tahun ini, jadi perasaan saya agak bercampur baur kerana saya sebenarnya gembira dengan catatan yang saya lakukan, namun dalam masa yang sama risau kerana Sukan Sea hanya berbaki dua bulan sahaja lagi dan tidak banyak medan untuk saya menguji kemampuan diri sebelum saingan tersebut bermula Mei depan,” jelas Jinq En yang meraih pingat perak ketika Sukan Sea Vietnam tahun lalu.
Turut sama mencuri tumpuan adalah pemenang tiga pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Jayden Tan Khai Xin yang berjaya menampilkan penguasaan penuh dalam acara 400 meter gaya bebas.
Perenang berusia 19 tahun itu berjaya membawa pulang pingat emas dengan catatan 3 minit 56.92 saat.
Catatannya itu hampir lagi membawa Jayden layak beraksi di Kejohanan Renang Dunia di Fukuoka, Jepun buat pertama kali, namun dibezakan dengan 00.78 saat apabila syarat catatan masa kategori B untuk ke saingan itu adalah 3 minit 56.14 saat.
Pingat perak milik perenang Syria, Omar Abbas dengan catatan 4 minit 0.60 saat, sementara Gua Ting Huang dari Taiwan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dengan catatan 4 minit 01.83 saat.
“Saya gembira kerana ini adalah catatan terbaik peribadi saya, saya rasa prestasi agak baik.
“Saya sebenarnya meletakkan sasaran untuk ke Sukan Sea tetapi hanya dibezakan dengan beberapa saat sahaja, tetapi saya masih berpeluang esok dalam acara 200 meter gaya bebas, dan saya berharap dapat melakukan yang lebih baik,” jelas Jayden.