PETALING JAYA: Tempo permainan pasukan dalam Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2023 menunjukkan peningkatan ketara antaranya lebih tajam, laju dan bertenaga berbanding musim-musim sebelum ini.
Itu membuatkan Ketua Jurulatih skuad wanita kebangsaan, Mohd. Nasihin Nubli amat teruja untuk menghimpunkan pemain terbaik menjelang Sukan SEA di Kemboja, Mei ini.
Katanya, selain Negeri Sembilan yang melakar sejarah meraih gelaran treble, skuad Young Tigress pasukan paling mencuri tumpuan menerusi beberapa pemain berbakat.
Meskipun pada awalnya dia menyangkakan MHL 2023 kurang menyerlah, namun sangkaan itu meleset apabila melihat ramai bakat baharu ditonjolkan dan berpotensi diserap dalam skuad Sukan SEA.
“Mulanya saya lihat mereka semua kurang menonjol, saya faham sebab pemain kebangsaan pun kali terakhir bermain pada Januari tahun lalu dalam Piala Asia.
“Namun, lama-kelamaan saya lihat pemain muda banyak beri cabaran dan membentuk kombinasi yang baik dengan pasukan yang ada senior.
“Saya nampak bakat-bakat baharu dalam Young Tigress, mereka ada peluang wakili Malaysia ke Sukan SEA, malah ada beberapa nama menarik perhatian saya. Salah seorangnya bernama Mia (Azmyra Mia Sofia Azhairy).
“Dia ini penyerang yang bagus. Saya lihat kemahiran yang dimiliki serasi dengan keperluan kejurulatihan.
“Saya perhati perlawanannya dari aksi pertama hingga akhir, yang mana mereka mendapat tempat keempat dalam Piala TNB.
“Berbanding tahun lalu, kita dapat jangka pasukan mana ke pentas akhir. Tahun ini berbeza, semua pasukan ada perubahan drastik dari tempo perlawanan.
“Mereka lebih laju, penonton pun rasa seronok dengan aksi mereka.
“Secara keseluruhan, saya puji Young Tigress kerana berjaya muncul pencabar terhebat liga,” katanya.
Nasihin berkata, dia juga berharap lima pemain senior negara tidak akan bermain dalam liga luar negara.
“Kami perlukan semua pemain senior untuk menolong pemain muda. Dalam liga mereka tunjuk komitmen tinggi, jadi saya harap mereka kekal di sini kerana keserasian yang ada sekarang sangat baik,” katanya.