PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan apabila bakal berkampung di China sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2023 Kemboja dari 5-17 Mei.
Ketua Jurulatih hoki wanita negara, Nasihin Nubli berkata, pasukannya tdijemput menyertai Jemputan Wanita Antarabangsa di Pusat Latihan Hoki Wujin di Wilayah Jiangsu pada 15 April depan.
Malaysia dijangka beradu kekuatan dengan dua kelab China serta satu kelab elit Jepun.
Ia kejohanan pemanas badan untuk mereka bagi mencapai sasaran meraih pingat emas Sukan SEA yang kali terakhir dipertandingkan di temasya dwitahunan itu pada 2017 di Kuala Lumpur.
“Kejohanan di China amat sesuai untuk kita jadikan persiapan Sukan SEA dan seterusnya Sukan Asia. Bulan puasa ini platform terbaik untuk lihat siapa sanggup berkorban buat pasukan.
“Antara pengorbanan ini menyaksikan kita terpaksa beraya di China kerana kita tak ada masa yang banyak. Selepas balik dari China, kita cuma ada seminggu sebelum ke Kemboja.
“Sekarang kita perhatikan Thailand yang menang kejohanan empat penjuru di Hong Kong. Mereka pasukan sama tetapi persembahan berbeza, jadi kita boleh simulasikan perlawanan di China nanti,” kata Nasihin pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Dalam masa sama, Nasihin juga memberi pelepasan kepada lima pemain bagi memperkuatkan skuad hoki wanita dalam dewan yang turut dalam misi meraih emas di Phnom Penh.
Mereka adalah Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun, Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi, Iren Hussin dan Nur Atira Mohamad Ismail.
“Kita bawa 20 pemain daripada senarai 29 dan 18 terbaik akan diumumkan selepas pulang dari China nanti. Saya harap mereka yang ke China nanti akan berikan yang terbaik,” ujarnya.