PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari lawan lebih sukar untuk menguji kekuatan sebenar Harimau Malaya dan mencari kelemahan yang perlu diperbaiki.
Biarpun dengan memilih pasukan lebih ‘berat’ berisiko mengundang kekalahan, namun ia adalah langkah berani untuk melihat keupayaan sebenar skuad kebangsaan dalam bersaing dengan pasukan yang lebih baik.
“Harimau Malaya tunjuk perubahan ketara selepas dibimbing Kim Pan Gon, dulu bila berdepan lawan seperti Hong Kong, kita hampir kalah. Sekarang pasukan lebih sistematik ada corak menyerang yang lebih baik dan mengancam lawan.
“Jadi kita kena banyak terlibat dalam aksi persahabatan, kalau boleh cari pasukan yang lebih kuat sebelum ke Piala Asia. Ciri-ciri pasukan itu, biarlah penyokong anggap di atas kertas Harimau Malaya boleh kalah dan ada cabaran kuat.
“Dengan cara ini, kita dapat melihat sejauh mana kemampuan Malaysia untuk bersaing.
“Jangan takut sebab kita dapat membentuk dan cari pemain yang betul-betul berkaliber,” kata legenda bola sepak negara, Khalid Ali kepada Utusan Malaysia.
Kemenangan ke atas Turkmenistan (1-0) dan Hong Kong (2-0) membolehkan Malaysia meraih 10.12 mata, sekali gus memperbaiki ranking dunia dari kedudukan 145 ke tangga 139.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sebelum ini berkata, mereka akan mencarikan lapan perlawanan persahabatan buat skuad kebangsaan, enam diadakan di Malaysia dan dua luar negara.
Pada September, Harimau Malaya akan berdepan Hong Kong (146 dunia) sekali lagi, dan menunggu keputusan empat negara lain – Taiwan (157), Jepun (20), China (80) atau Uzbekistan (77) sebagai pencabar seterusnya.
Hamidin juga mengesahkan Pestabola Merdeka akan kembali diadakan dan berada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Oktober ini.
Lawan yang akan beraksi pada kejohanan itu adalah India (106), Lebanon (100), Palestin (93) dan kemungkinan besar China.