PETALING JAYA: Kemerosotan prestasi yang melanda Lee Zii Jia ketika ini berada di tahap ‘membimbangkan’ sehingga mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurut Hannah, beliau mahu mengadakan pertemuan ‘hati ke hati’ dengan jaguh badminton negara itu bagi mengetahui punca prestasinya kian merudum sambil membantu mencari jalan penyelesaian.
Terbaru, pemain kelahiran Kedah itu tewas kepada pemain No. 49 dunia dari Taiwan, Lee Chiao Hao di pusingan kedua Terbuka Jerman kelmarin.
Ia situasi yang membimbangkan kerana Zii Jia diletak sebagai prospek Sukan Olimpik 2024 dan dijangka disenarai dalam ‘Road To Gold’, program persediaan atlet berpotensi meraih pingat di temasya Paris itu.
“Saya sudah hubungi Zii Jia selepas perlawanan dan beritahu untuk berjumpa sebaik sahaja dia pulang bagi berbincang bagaimana kita boleh bantu meningkatkan prestasi.
“Pada perjumpaan sebelum ini, kami ada bincang mengenai bantuan yang boleh diberikan. Saya akan sentuh perkara ini dalam sidang akhbar esok (hari ini),” katanya selepas Majlis Pelancaran Aplikasi AFA di Petaling Jaya semalam.
Sejak memenangi Terbuka Thailand, Mei tahun lalu, Zii Jia kelihatan bergelut dengan prestasi dan kerap tersingkir awal termasuk dalam Kejohanan Dunia di Tokyo pada Ogos.
Dia cuba untuk bangkit dalam Terbuka Denmark pada Oktober, namun terpaksa akur kepada kebangkitan pemain China, Shi Yuqi dalam perlawanan akhir.
Prestasinya kembali merudum, termasuklah dalam empat kejohanan yang disertainya tahun ini yang menyaksikan perjalanan kerap berakhir di pusingan kedua.
Susulan itu, Zii Jia meluahkan rasa kecewanya di laman media sosial, namun penggunaan kata kesat dilihat tidak sesuai berdasarkan statusnya sebagai atlet sukan negara yang disanjung ramai.
“Dia tidak ada beritahu apa-apa (berhubung status). Bagi saya, dia adalah pemain profesional, bukannya budak kecil dan kita harus beri ruang kepadanya terlebih dahulu.
“Saya pernah cakap atlet adalah sumber inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia dan mereka ada turun naik.
“Saya hanya mahu berikan sokongan kepada atlet kita, mungkin dari segi latihan media sosial serta kekuatan mental,” ujar Hannah.