ISKANDAR PUTERI: Gol penalti yang dihadiahkan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) seawal minit kedua merentap moral pasukan hingga tidak berupaya menyaingi juara bertahan itu, akui pengendali Kelantan FC, Choi Moon-sik.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, ini kerana perlawanan masih ‘belum panas’ tetapi pasukannya sudah ketinggalan.
“Gol penalti itu menjejaskan moral pemain dan tumpuan mereka di atas padang selepas itu terus merudum. Ia juga menjejaskan strategi pasukan yang lebih banyak bertahan dan diasak bertali arus.
“Kesannya, kami tidak mempunyai jawapan kepada taktikal JDT yang mengasak dari pelbagai sudut yang akhirnya meletakkan kami di posisi sukar apabila ketinggalan 0-3 pada babak pertama,” katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Dalam perlawanan tersebut, JDT menang mudah dengan jaringan 5-1.
Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan Korea Selatan itu tetap memuji sikap pemainnya yang tetap mahu mencuba menyaingi JDT.
Jaringan Leonardo Rolon pada babak kedua tetap memberikan kegembiraan buat skuad The Red Warriors yang memberi harapan untuk terus berjuang hingga wisel penamat.
Lebih bermakna jaringan itu membolehkan Kelantan menjadi pasukan pertama merobek gawang JDT pada musim ini.
Sementara itu, Pengendali JDT, Esteban Solari memuji anak buahnya yang mempamerkan karakter sebenar bagi mencatatkan kemenangan.
Beliau mengakui bukan mudah untuk mengekalkan intensiti pada setiap perlawanan, namun skuad Harimau Selatan tetap mempamerkan taring mereka, sekali gus mengekalkan rentak kemenangan bagi empat perlawanan berturut-turut.
“Bagi saya ini adalah perlawanan yang mencabar kerana selepas menang 7-0 ke atas Negeri Sembilan, secara psikologi pasukan dituntut mengulangi kejayaan yang sama.
“Pemain berjaya membuktikan kemampuan dan mendapat gol awal. Selepas itu, rentak permainan kita sedikit perlahan sebelum kembali menjaringkan dua gol pada babak pertama,” jelasnya.-UTUSAN