PETALING JAYA: Skuad gimnastik negara perlu menggandakan usaha untuk memburu pingat dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja selepas saingan wanita tidak dipertandingkan pada temasya 5 hingga 17 Mei itu.
Kesemua empat pingat gimnastik Malaysia pada edisi terakhir di Hanoi, tahun lalu disumbangkan dalam acara wanita, ini bermakna gimnas lelaki negara yang dibimbing oleh Ng Shu Liang menggalas tugas yang amat berat.
Shu Liang yang ditemui ketika lawatan Chief De Mission (CDM) Sukan SEA, Datuk Mohd. Nasir Ali mengakui, peluang Malaysia bertambah sukar selepas negara jiran, Filipina dikatakan tetap menyenaraikan juara dunia, Carlos Yulo dalam temasya kali ini.
Daripada lapan acara yang disenaraikan di Sukan SEA Vietnam, tahun lalu, lima daripadanya dibolot Yulo, justeru tugas yang mencabar untuk enam gimnas negara di Phnom Penh.
Cabaran Malaysia akan digalas oleh Muhammad Sharul Aimy, Ng Chun Chen, Lukman Al Hafiz, Teoh Chuen Feng serta dua atlet muda, Ally Hamuda dan Shakir Aiman.
“Memang sangat sukar untuk acara lelaki, tambahan CDM mengatakan juara dunia dari Filipina akan menyertai saingan kali ini. Dia dah menang dua emas berturut-turut dalam Piala Dunia, tarafnya bukan lagi Asia Tenggara, tetapi dunia.
“Bagi saya, dalam sukan apa apa pun boleh jadi, kita hanya perlu buat apa yang dirancang. Kita juga ada dua atlet baharu memandangkan atlet senior sudah bersama pasukan, dan mereka akan dibantu dengan empat lagi atlet senior berpengalaman,” kata Shu Liang.
Pada Sukan SEA 2021, emas Malaysia disumbangkan oleh Rachel Yeoh dalam palang tidak sejajar dan batang titian, manakala dua lagi diraih Koi Sie Yan (all-around individu) dan all-around berpasukan.