PETALING JAYA: Selepas melihatkan kejayaan dihadirkan skuad bola sepak menerusi pengambilan pemain naturalisasi, skuad bola keranjang kebangsaan bercadang untuk mengikut jejak langkah yang sama.
Apatah lagi kebanyakan negara serantau turut menggunakan pendekatan tersebut bagi memastikan kejayaan khususnya untuk Sukan SEA.
Ketua jurulatih skuad bola keranjang wanita negara, Tracy York mengakui, usaha menyerap pemain naturalisasi sedang dilakukan, namun ia memakan masa lama, dan mereka tidak sempat digunakan pada temasya di Phnom Penh, Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.
“Ya, sudah tentu kita mahu. Ia adalah pelan jangka masa panjang. Kita masih mencuba. Buat masa ini kita ada mengenalpasti beberapa pemain naturalisasi yang baik namun ia agak sukar kerana ia melibatkan urusan pasport dan tentunya mengambil masa. Ketika ini, saya fokus kepada pemain yang kita ada terlebih dahulu.
“Jika kita ada masa dan membawa pemain naturalisasi yang tepat, untuk kami, kita perlukan saiz. Jika kita ambil contoh Indonesia, mereka mempunyai pemain naturalisasi dan mendapat keputusan yang baik,” jelas Tracy ketika menerima lawatan Chef de Mission (CDM) negara ke Sukan SEA di Wisma Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Kuala Lumpur semalam.
Tracy yang pernah membimbing pasukan Bendigo Spirit dalam Liga Bola Keranjang Wanita Australia (WNBL) bakal mempunyai tugas yang sukar dalam usaha untuk mengulangi kejayaan Malaysia meraih pingat emas ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Tahun lalu di Vietnam, skuad negara terpaksa akur apabila hanya membawa pulang pingat gangsa.
“Filipina agak sukar bagi kita, mereka adalah pemenang pingat emas pada edisi lalu. Indonesia, Thailand turut mempunyai beberapa pemain naturalisasi yang baik dan kesemuanya sangat sukar bagi kami.
“Semua pasukan pastinya menjadi semakin baik. Kita hanya cuba yang terbaik untuk mendapatkan pingat buat negara,” tambah Tracy.