LONDON: Pakar Formula Satu (F1) mencadangkan agar Lewis Hamilton berhijrah ke Ferrari untuk memenangi gelaran dunia buat kali kelapan yang ditunggu-tunggu selama ini.
Hamilton, 38, dinafikan gelaran dunia pada 2021 yang melibatkan kereta keselamatan ketika perlumbaan terakhir di Prix Abu Dhabi.
Insiden tersebut menghadiahkan kejuaraan kepada pemandu Red Bull, Max Verstappen selain menyebabkan pengarah perlumbaan badan automobil dunia, FIA, Michael Masi hilang tugasnya.
Harapan Hamilton untuk bangkit pada 2022 tidak pernah menjadi kenyataan selepas Mercedes bergelut pada musim pertama era baharu perlumbaan F1.
Kini, terdapat tanda-tanda awal Hamilton dan rakan sepasukannya, George Russell sekali lagi akan bergelut untuk mencabar kejuaraan.
Pasangan itu berada di tempat kelima dan ketujuh di Bahrain, menyebabkan ikon Britain tersebut mengecam dan mendakwa pasukan tidak mendengar pendapatnya berhubung kereta W14.
Spekulasi mengenai masa depan pemandu itu hangat diperkatakan, dengan perjanjian semasa Hamilton akan tamat pada penghujung 2023.
Penyampai Sky Sports, Simon Lazenby berpendapat peminat boleh melihat Hamilton bersaing buat Ferrari selepas gergasi Itali itu menjadi pencabar terdekat Red Bull pada musim 2022.
“Bukan ke Aston (Martin) tetapi bagaimana anda boleh menolak Ferrari jika (Mercedes) kekal seperti ini.
“Dia (Hamilton) sangat terdesak untuk kejuaraan dunia kelapan, jika Ferrari berjaya kekal sebagai pencabar, mereka paling hampir dengan Red Bull.
“Lewis belum meletakkan pen pada kontraknya. Dia pasti menunggu untuk melihat bagaimana keadaan kereta.
“Saya fikir hubungan yang baik dengan pasukan akan bertahan tapi saya tidak fikir dia boleh menolak perpindahan ke Ferrari,” katanya. – AGENSI