Falcao sertai JDT, tunggu kata putus TMJ

Falcao sertai JDT, tunggu kata putus TMJ

RADAMEL FALCAO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak menolak kemungkinan bekas bintang Manchester United, Radamel Falcao akan menyertai Harimau Selatan, namun, mengakui keputusan tersebut hanya boleh diputuskan oleh pemilik kelab.

“Kemungkinan itu memang ada, tetapi semua keputusan terletak di tangan bos (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), saya difahamkan beliau sedang mengusahakannya,” katanya ketika sidang media selepas aksi Liga Super menyaksikan JDT membenam Kuala Lumpur (KL) City 3-0 di Stadium KLFA dekat sini, kelmarin.

Menurut Solari, kelab besar seperti JDT tahu mereka berpeluang untuk mendapatkan khidmat penyerang veteran Rayo Vallecano itu, tetapi pihaknya masih menunggu perkhabaran tersebut.

Seandainya, bekas bintang antarabangsa Colombia itu berjaya diikat JDT, dia hanya akan menyertai Liga Malaysia ketika jendela perpindahan dibuka kembali pada 5 Julai hingga 1 Ogos depan.

Berdasarkan laporan media Sepanyol, Marca, pemain berusia 37 tahun itu dijangka meninggalkan Rayo Vallecano dan selain JDT, Falcao turut diintai Valencia yang dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya.

“Bagaimanapun, saya tak boleh ulas lebih lanjut, hanya bos yang boleh membuat keputusan dan kami masih menunggu perkhabaran tentang berita tersebut,” ujar Solari.

Sekiranya Falcao berjaya di bawa masuk menyertai JDT, dia bakal menjadi pemain ternama kedua selepas bintang Argentina, Pablo Aimar berbuat demikian pada 2013.

PEMAIN KL City, Declan Lambert cuba menghalang pergerakan pemain JDT, Bergson dalam aksi Liga Super melibatkan kedua-dua pasukan.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

Mengulas pula mengenai persembahan JDT menentang KL City, Solari berkata, anak-anak buahnya telah bermain dengan dengan baik menentang sebuah pasukan yang bagus.

“Saya seronok menyaksikan pertemuan ini, kami berjaya mengawal hampir 70 peratus permainan dan menjaringkan tiga gol.

“Sudah tentu saya mahu memperbaiki kesilapan kami, ini merupakan perlawanan kedua, setiap pertemuan itu adalah cabaran dan kami perlu bekerja keras,” katanya.

Pengendali JDT itu turut memuji persembahan Endrick Dos Santos yang mengharungi musim pertamanya bersama skuad Harimau Selatan itu.

“Saya gembira dengan persembahannya hari ini (kelmarin), saya akui bukan mudah untuk segera menyesuaikan diri dengan sebuah pasukan besar seperti JDT, dia berjaya jaringkan gol, jadi ini satu permulaan yang baik untuknya,” tambah pengendali Harimau Selatan itu.

Selain Dos Santos, Solari turut memuji Syamer Kutty Abba yang pada anggapannya seorang pemain yang sempurna dan pemain kebangsaan itu memerlukan masa bagi mendapatkan minit permainan sewajarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya