Eain Yow kejutkan pemain No. 19 dunia di London

Eain Yow kejutkan pemain No. 19 dunia di London

NG EAIN YOW (kanan) membalas pukulan yang dilakukan Patrick Rooney sewaktu beraksi dalam pusingan pertama Kejohanan Skuasy Optasia 2023 di Kelab Wimbledon, London, semalam. - Ihsan Optasia.com
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy lelaki utama negara, Ng Eain Yow melepasi halangan awal setelah melakar kejutan ke atas wakil England, Patrick Rooney pada pusingan pertama Kejohanan Skuasy Optasia 2023 di Kelab Wimbledon, London semalam.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur yang mendapat jolokan ‘Smiling Ninja’ pada kejohanan itu menundukkan pemain No. 19 dunia tersebut 11-7, 11-8, 11-5 dalam masa 42 minit.

Eain Yow yang menghuni ranking ke-23 dunia itu bakal mengharungi ujian lebih getir dalam pusingan kedua apabila perlu berdepan jaguh No. 8 dunia, Victor Crouin dari Perancis yang diletakkan selaku pilihan keenam, esok.

Ketika ditemu bual selepas perlawanan tamat, Eain Yow yang berpangkalan di England berkata, Rooney menghuni ranking lebih tinggi daripadanya, jadi, cukup jelas pemain itu merupakan ancaman besar buat dirinya.

“Saya sedar apabila saya mempamerkan persembahan terbaik, saya mampu menyaingi pencabar yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia, tetapi, hari ini (semalam) saya tahu betapa kuat dan bahayanya Patrick.

“Saya mengikut perancangan permainan saya sejak awal aksi lagi dengan cuba untuk melakukan pukulan rapat ke dinding gelanggang.

“Saya juga berusaha menyempurnakan pukulan lurus yang baik dan saya gembira dengan persembahan saya,” kata Eain Yow yang dipetik kenyataannya menerusi laman web kejohanan iaitu optasiasquash.com.

Ketika ditanya tentang statusnya yang pernah menyandang gelaran juara remaja dunia, pemain berusia 25 tahun itu menegaskan, dia tidak pernah terlalu memikirkan mengenai pencapaian lalunya kerana ramai lagi pemain yang menghuni ranking lebih baik berbanding dirinya tetapi tidak memenangi kejuaraan remaja dunia.

“Jika anda lihat pemain-pemain yang berada di ranking lebih baik berbanding saya seperti Victor yang berada di kedudukan No. 8 dunia, Patrick dalam 20 kelompok terbaik, Youssef Ibrahim berjaya melonjak sehingga ke tangga ke-11 dunia.

“Jadi, saya tidak fikir yang saya telah mencapai potensi penuh dalam karier saya tetapi hari ini, persembahan saya amat menggalakkan,” ujarnya.

Jelas Eain Yow, dia bertekad untuk terus melangkah maju ke hadapan dan yakin mampu menumbangkan sesiapa sahaja, justeru, dia tidak sabar untuk turun beraksi esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya