PETALING JAYA: Pelumba motosikal negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril menjalani latihan keras bagi memastikan prestasinya lebih konsisten pada musim kedua dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup dan Kejuaraan Dunia JuniorGP tahun ini.
Pelumba berusia 20 tahun itu yang berlepas ke Sepanyol, Ahad lalu bagi menjalani sesi ujian pramusim di Portimao, Portugal dari 15-16 Mac depan berkata, sejak awal November lagi dia menggandakan latihan terutama tahap kecergasan.
“Persediaan untuk musim ini perlu lebih baik berbanding musim lepas, saya sendiri sangat bermotivasi.
“Saya berlatih lebih keras sejak awal November dan memberi fokus kepada kecergasan fizikal. Saya dapat merasakan fizikal saya sekarang lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.
Tahun lalu, pelumba kelahiran Parit Buntar, Perak itu melengkapkan aksi di kedudukan ke-13 keseluruhan setelah mengumpul 48 mata dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup.
Sementara pencapaiannya dalam Kejuaraan Dunia JuniorGP pula, Danial yang bernaung di bawah pasukan Asia Talent Team menyempurnakan saingan di tempat ke-17 keseluruhan dan mengumpul 30 mata.
“Bagi Red Bull Rookies, ini merupakan tahun kedua, saya sudah kenal semua pelumba yang berada di kelompok hadapan.
“Kali ini, saya akan bekerja keras untuk dapatkan podium, begitu juga dalam JuniorGP, tahun kedua buat saya dalam kejuaraan ini,” ujarnya.
Danial Syahmi akan memulakan musim di Portimao pada 25-26 Mac ini untuk Red Bull Rookies, manakala bagi Kejuaraan Dunia JuniorGP, musim baharu hanya akan bermula 7 Mei di Litar Estoril juga di Portugal.