PETALING JAYA: Spekulasi status Sukan Universiti Dunia atau Universiade Chengdu yang tertangguh disebabkan Covid-19 sejak 2021 terjawab selepas tuan rumah, China bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan temasya berkenaan bermula 27 Julai hingga 8 ogos depan.
Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, Chengdu dan China membuktikan mereka sudah benar-benar bersedia sebagai tuan rumah yang hebat, lengkap dan canggih untuk menganjurkan Universiade Chengdu 2021.
“Opening Julai nanti, tapi kebanyakan Venuenya macam boleh mula dah esok. Begitulah gambaran betapa seriusnya Chengdu sebagai tuan rumah Universiade edisi ke-31.
“Hasil lawatan dan taklimat di sebahagian venue yang diberikan kepada Ketua-ketua Delegasi negara peserta Universiade Chengdu 2021 juga membuktikan tuan rumah sudah bersedia.
“Mungkin disebabkan acara telah tertangguh selama dua tahun, tetapi yang menakjubkan komitmen dan bersemangat tinggi rakyat Chengdu dan China tetap jitu dan tidak berubah,” katanya.
Terdahulu, Pekan menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Delegasi berlangsung di Chengdu, China yang bermula semalam sehingga esok yang turut disertai Ketua Kontinjen Universiade Chengdu, Prof. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Ketua Sekretariat Universiade Chengdu
Mohammad Faez Mohd Alias.-UTUSAN ONLINE