Bukan kejayaan mudah, THT lakar kejuaraan 'treble'

Bukan kejayaan mudah, THT lakar kejuaraan ‘treble’

Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) menjulang Piala TNB 2023 selepas menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan keputusan 2-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. -IHSAN Fit Terengganu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohd Fitri Saari mengakui kejayaan meraih gelaran ‘treble’ dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini bukan satu pencapaian yang mudah.

Jelasnya, kunci kejayaan itu antaranya adalah semangat juang berpasukan tinggi yang ditunjukkan rakan sepasukan.

THT menutup tirai kempen dengan penuh bergaya apabila menewaskan Tenaga Nasional Berhad 2-1 dalam aksi final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, kelmarin sekali gus menyapu bersih semua trofi saingan musim ini selepas turut muncul juara Piala Sumbangsih dan meraih gelaran liga.

“Kemenangan ini adalah satu sejarah buat Terengganu selepas 10 tahun ditubuhkan dan saya percaya ia hasil titik peluh pihak pengurusan serta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sentiasa mempercayai kemampuan kami.

“Kita memang berjuang hingga ke titisan darah terakhir pada perlawanan ini. Apabila sudah mendahului, kita gunakan corak bertahan hingga ke penghujung permainan,” katanya.

Kemenangan ke atas TNB, menyaksikan pasukan dari Pantai Timur itu menjulang kejuaraan tersebut buat kali ketujuh selepas turut melakukannya pada edisi 2014, 2015, 2016, 2017, 2019 serta 2021.

Bagi saingan wanita, skuad hoki Negeri Sembilan (NSE) menjuarai Piala Vivian May Soars selepas menewaskan KPT-Uniten Thunder (KPT) menerusi penentuan pukulan penalti 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan.

Kejayaan itu, menyaksikan anak buah K. Rajan turut meraih gelaran ‘treble’ sulung selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini.

“Saya gembira sebab kemenangan hari ini (kelmarin) sebenarnya melalui cara yang susah dan pujian harus diberikan kepada Mashitah (Ab Khalid) kerana daripada shootout dan perlawanan sebab dia berjaya buat clear save. Namun, semua pemain juga berjaya memainkan peranan mereka dengan baik,”ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya