JOHOR BAHRU: Pemain naturalisasi, Paulo Josue berharap gandingan Brazilian connection bersama Endrick Dos Santos mampu mengangkat Harimau Malaya ke tahap terbaik apabila menentang Turkmenistan dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim esok.
Josue, 34, berkata, walaupun tidak pernah bermain bersama, namun mereka mudah memahami gaya permainan satu sama lain dan dapat berkomunikasi dengan jelas.
“Sebelum ini dalam tempoh lima ke enam tahun kami pernah berkongsi padang dalam aksi Liga Malaysia, namun bukanlah dalam pasukan yang sama.
“Memandangkan kami berasal dari Brazil, jadi tidak timbul masalah komunikasi.
“Saya suka cara permainan Endrick dan berharap gandingan kami berdua ini membantu pasukan dengan beraksi lebih baik,” katanya.
Harimau Malaya akan berdepan Turkmenistan esok sebelum melayan Hong Kong pada Selasa depan juga di Stadium Sultan Ibrahim.
📽 Sekitar sesi pre-activation pada hari keempat kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon di Johor Bahru.
Tonton video penuh di https://t.co/p6SQSJyenT#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/mYtB1vrmEv
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 21, 2023
Dalam pada itu, pemain tengah Kuala Lumpur City FC itu teruja bakal menyarung jersi Malaysia buat pertama kali setelah menjadi pemain naturalisasi negara.
Josue turut meluahkan rasa gembira dan bangga dipilih oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk beraksi bersama skuad kebangsaan buat pertama kali.
“Saya berikrar untuk memberi persembahan terbaik bagi membalas jasa coach Kim yang memberi peluang bersama skuad Harimau Malaya.
Saya amat berharap mampu memberi impak kepada pasukan.
“Kini, saya dalam proses memahami dan menguasai sistem serta corak permainan yang diterapkan ketua jurulatih yang mahu pemain melakukan high press dan memanfaatkan pemain sayap yang lincah seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Akhyar Rashid,” katanya.
Mengenai rekod pertemuan Malaysia menentang Turkmenistan, pemain kelahiran Brazil itu berkata, rekod itu tidak memberi sebarang makna dan menjangkakan akan menjadi satu pertemuan yang sengit.