MADRID: Barcelona tidak dibenarkan membeli pemain baharu pada jendela perpindahan musim panas ini kecuali mereka melepaskan 10 pemain bagi mengurangkan perbelanjaan 178 juta pound (RM953 juta).
Presiden La Liga, Javier Tebas berkata, Barcelona sudah tidak mempunyai ruang untuk berbelanja.
“Setakat hari ini, Barcelona tidak mempunyai sebarang ruang dalam bajet mereka untuk dibelanjakan pada jendela perpindahan akan datang.
“Barcelona terlibat dengan tingkah laku yang boleh dipersoalkan dan telah memberi kesan kepada La Liga, jadi kami bertindak sewajarnya.
“Kami memutuskan mereka tidak boleh lagi menandatangani lebih ramai pemain.
“Mereka telah menjual 700 juta pound (RM3.74 bilion) bagi hak televisyen dan cuba mencari cara berbeza untuk menyelesaikan situasi itu tetapi mereka tidak akan dapat melakukannya musim depan.
“Kami mempunyai kawalan ekonomi yang ketat. Pada penghujung setiap jendela perpindahan, kami beritahu semua kelab di La Liga apa yang boleh mereka belanjakan.
“Dalam kes Barcelona, mereka perlu mengurangkan perbelanjaan gaji dan pemindahan daripada 650 juta pound(RM3.47 bilion) kepada 450 juta pound (RM2.4 bilion), jadi mereka perlu kurangkan sehingga 200 juta pound (RM1.07 bilion).
“Jadi kami galakkan mereka menjual pemain kerana daripada jumlah dikumpulkan daripada jualan, mereka boleh belanja 40 peratus,” katanya pada Sidang Kemuncak Bola Sepak dan Perniagaan Financial Times di London, semalam.
Barcelona telah menandatangani Robert Lewandowski, Raphinha, Jules Kounde, Andreas Christensen, Franck Kessie, Hector Bellerin dan Marcos Alonso musim panas lalu ketika masih berdepan krisis kewangan.
Tindakan itu memburukkan masalah kewangan mereka dengan anggaran hutang melebihi 1 bilion pound (RM5.3 bilion).
Presiden Barcelona, Joan Laporta memutuskan untuk menjual sebahagian hak penyiaran kelab pada Jun lalu bagi mengurangkan tekanan kewangan, namun Tebas terus memberi tekanan.
Barcelona didenda 705,000 pound (RM3.77 juta) kerana melanggar peraturan kewangan bersih pada Januari.
Situasi itu boleh memberi masalah buat pengurus, Xavi yang kini mengemudi pasukan di tangga teratas La Liga tetapi telah tersingkir dari Liga Juara-Juara dan Liga Europa. – AGENSI