PETALING JAYA: Spekulasi Lee Zii Jia akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan bertiup kencang selepas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria terbuka menerima kepulangan perseorangan lelaki No. 4 dunia itu.
Beberapa hari lalu, tular gambar Norza bertemu juara Asia itu ketika di Eropah dan bersahur di Sri Hartamas, sehingga timbul spekulasi dia akan kembali ke pangkuan BAM.
Begitupun, Norza menafikan perkara itu dan menegaskan pertemuannya dengan Zii Jia tidak dirancang.
Zii Jia, 24, mengejutkan badminton antarabangsa apabila membuat keputusan untuk bergerak sebagai pemain profesional pada Januari tahun lalu.
BAM mendakwa alasan utama Zii Jia untuk bergerak sendiri disebabkan tekanan yang terlalu tinggi untuk mengikut rejim latihan dalam kem kebangsaan.
“Saya pun hendak tunggu pertemuan antara YB Hannah (Yeoh, Menteri Belia dan Sukan) dengan Zii Jia.
“Sama ada dia balik BAM atau tidak, keputusan kami jelas dia antara atlet yang akan disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG).
“Apa sahaja bantuan yang dia perlukan, dari segi latihan atau kejurulatihan, kita akan sokong sepenuhnya, berpandu kepada kriteria dan terma yang tetapkan dalam program RTG,” kata Norza selepas menerima kunjungan Hannah di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur semalam.
Norza yang juga pengerusi bersama jawatankuasa RTG dan Presiden MOM berkata, beliau mengenepikan segala perbezaan bagi memastikan Malaysia fokus untuk meraih emas sulung dalam Olimpik Paris pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
“Kita sudah tiada masa kerana Sukan Olimpik Paris tidak lama sahaja lagi.
“Kita nak pastikan atlet dalam senarai itu, dari segi keperluan mereka, laluan mereka di pusingan kelayakan dan Sukan Olimpik nanti kita sediakan.
“Kalau dia (Zii Jia) selesa dengan cara dia untuk mencapai k apa yang dia perlukan, kita akan bantu untuk usahakan,” tambah Norza.