PETALING JAYA: Chief De Mission (CDM) Sukan Sea Kemboja 2023, Datuk Nasir Ali optimis perancangan latihan keseluruhan kontijen Malaysia ke temasya itu tidak akan terjejas biarpun bakal mengharungi latihan dalam keadaan berpuasa menjelang bulan Ramadhan yang akan tiba 23 Mac depan
Ketika ini kebanyakkan atlet negara menjalani latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, namun beberapa sukan turut dalam perangkaan untuk mengadakan latihan fasa akhir di luar Lembah Klang.
Nasir yang ditemui ketika mengadakan lawatan ke venue latihan membabitkan sepak takraw, wushu, gimnastik dan taekwondo menaruh keyakinan tinggi kebanyakkan atlet negara yang beragama Islam akan menyusun jadual latihan ketika bulan Ramadhan bagi membolehkan mereka menjalani latihan di tahap yang optima.
Kebiasannya atlet beragama Islam akan berlatih di waktu malam ketika bulan Ramadhan, dan juga yang berlatih sebelum waktu sahur seperti yang pernah dilakukan skuad hoki wanita negara ketika dibawah kendalian Dharma raj Abdullah.
“Ada lebih kurang 50 hari sahaja lagi untuk Sukan SEA bermula selain beberapa hari menjelang Ramadan. Saya fikir mungkin akan ada sedikit kekangan dari segi susunan jadual latihan nanti.
“Bagaimanapun, saya yakin barisan kejurulatihan sudah ada perancangan tersendiri dan akan mengubah suai jadual latihan tersebut (sepanjang Ramadan),” jelas Nasir yang ditemui pemberita hari ini.
Dalam masa yang sama, Nasir juga telah mendapatkan gambaran terkini perkampungan sukan di Phnom Penh yang dibina berdekatan dengan Stadium Nasional Morodok Techno untuk dikongsikan dengan keseluruhan kontijen Malaysia.
“Apa yang menjadi kebimbangan adalah cuaca panas terik, mereka anggarkan lebih 40 celcius, jadi kena minum air banyak. Berhubung makanan juga begitu, namun difahamkan perkampungan sukan ada sediakan makanan halal,” tambah Nasir.