Angkara Israel, Indonesia dilucut hak tuan rumah Piala Dunia B-20

Angkara Israel, Indonesia dilucut hak tuan rumah Piala Dunia B-20

FIFA melucutkan hak Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAUSANNE: Indonesia dilucutkan hak tuan rumah edisi ke-24 Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) ekoran kebimbangan politik melibatkan penyertaan Israel, umum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu diambil melihat kepada ‘perkembangan semasa’ tanpa menyatakan secara terperinci.

“Tuan rumah baharu akan diumumkan secepat mungkin, dengan tarikh kejohanan pada masa ini kekal tidak berubah,” kata kenyataan itu.

Undian kejohanan melibatkan 24 pasukan itu sepatutnya diadakan pada 20 Mei di Bali tetapi FIFA membatalkan acara tersebut minggu lalu tanpa menyatakan sebab atau menetapkan tarikh baharu.

Indonesia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, dan sokongan terhadap perjuangan Palestin di negara dengan majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia itu mencetuskan penentangan rakyat tempatan untuk menerima kehadiran pasukan Israel.

Selain gabenor Bali menggesa Israel disingkirkan daripada kejohanan, ratusan penunjuk perasaan Islam berarak di ibu kota Jakarta bulan ini bagi membantah penyertaan negara itu.

Pegawai kerajaan Indonesia awal minggu ini berkata, kegagalan menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 boleh menyebabkan negara itu digantung dan tidak dibenarkan menyertai kejohanan bola sepak antarabangsa lain, termasuk kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

Kegagalan menjadi tuan rumah juga mengakibatkan Indonesia kerugian mencecah bertrilion rupiah dalam aspek ekonomi.

Menurut FIFA potensi sekatan terhadap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) ‘mungkin juga diputuskan kemudian’.

“Saya sudah cuba yang terbaik. Selepas menyampaikan surat daripada (Indonesia) Presiden Jokowi, dan bercakap panjang lebar dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, kami mesti menerima keputusan FIFA untuk membatalkan hak penganjuran yang kami nantikan.

“Indonesia adalah anggota FIFA, jadi untuk urusan bola sepak antarabangsa, kami mesti mengikut peraturan yang ditetapkan. FIFA menganggap situasi sekarang tidak boleh diteruskan, kami mesti akur,” kata Presiden PSSI, Erick Thohir selepas rundingan di Doha.

Indonesia tidak pernah beraksi dalam kejohanan itu sejak 1979, namun layak secara automatik sebagai tuan rumah.

Israel layak ke kejohanan berkenaan buat pertama kali selepas pusingan akhir Kejohanan Bawah 19 Tahun Eropah selepas mereka menamatkan kedudukan di tangga kedua di belakang England. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya