PETALING JAYA: Penamat yang cukup indah buat perenang muda negara, Andrew Goh apabila bukan sahaja layak untuk beraksi di Sukan Sea Kemboja Mei depan, namun turut memecahkan rekod kebangsaan acara kuak dada 50 meter di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-65 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil yang menutup tirai hari ini.
Andrew yang beraksi untuk Selangor meraih tempat ketiga untuk acara itu, di belakang Indonesia Felix Viktor Iberle mengguguli emas 27.65 saat diikuti atlet Namibia Ronan Zuberge Wantenaar 27.84 saat, namun catatan masa dilakar Andrew iaitu 28.10 saat sudah cukup untuk memadam rekod yang dipegang Wong Fu Kang, iaitu 28.59 saat pada 2016.
Lebih manis, lakaran masa itu turut berjaya membawa Andrew melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Akuatik 2023 di Fukuoka, Jepun Julai depan selepas melepasi had kelayakan kategori B iaitu 28.29 saat.
Kejayaan Andrew itu menyaksikan Malaysia bakal mempunyai tiga perenang beraksi di Kejohanan Dunia, bersama-sama Phee Jinq En dan Khiew Hoe Yan.
Secara keseluruhan, perenang berusia 19 tahun itu telah meraih tiga pingat perak bagi acara bebas dan rampaian 4×100 berganti-ganti serta 4×200 acara bebas berganti-ganti dan dua pingat gangsa dalam acara 50 meter dan 200 meter kuak dada.
“Jujur, saya langsung tidak menyangka akan dapat layak ke Kejohanan Dunia kerana sasaran saya yang sebenar adalah untuk cuba lepasi had kelayakan ke Sukan Sea terlebih dahulu.
“Saya memang sudah lama impikan untuk beraksi di Kejohanan Dunia, sejak saya berumur tujuh tahun lagi, dan ia berjaya dicapai apabila saya berusia 19 tahun.
“Kejayaan ini memang saya sudah usahakan sejak sekian lama, ia bukanlah nasib, sebaliknya hasil kerja keras saya ketika sesi latihan,” jelas Andrew yang ditemui pemberita hari ini.