PETALING JAYA: Atlet skuasy, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ainaa Amani Ampandi muncul juara Hong Kong Squash PSA Challenge Cup 2023 yang berlangsung pada 15 hingga 18 Mac lalu.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Hong Kong Cricket Club itu, Ainaa Amani berjaya menumpaskan pemain tuan rumah Cheng Nga Ching dengan keputusan 11-3, 11-5, 11-2
Ainaa Amani memulakan langkah positif dalam kejohanan berkenaan selepas berjaya menumpaskan pemain utama Korea Selatan, Yura Choe dan Kwong Ena dari Hong Kong pada pusingan awal.
Pemain remaja negara itu kemudiannya meneruskan rentak kemenangan di peringkat separuh akhir apabila menumbangkan pilihan ketiga kejohanan iaitu Ching Hei Fung juga dari Hong Kong.
“Kejayaan ini sangat bermakna buat diri saya kerana ia merupakan kejuaraan pertama dalam siri jelajah pada tahun ini. Kemenangan ini juga adalah hadiah hari jadi buat saya kerana perlawanan akhir berlangsung pada hari kelahiran saya.
“Pastinya kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya dalam kejohanan yang akan disertai selepas ini,” katanya yang akan menyertai Vikram Goyal SRFI Open 2023 di Delhi, India pada 1 hingga 5 April depan.
Dalam pada itu, UPM mengucapkan tahniah kepada Ainaa Amani atas kejayaan tersebut dan berharap atlet berkenaan akan terus mempamerkan aksi terbaik untuk merangkul lebih banyak kejayaan.-UTUSAN ONLINE