PETALING JAYA: Ahmad Sharul Anuar Shafie mempamerkan aksi terbaiknya untuk mengungguli edisi ketiga saingan Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) di Impian Golf and Country Club di Kajang baru-baru ini.
Pemain profesional itu menggunakan kelebihan beraksi di Impian Golf and Country Club untuk menjuarai kejohanan itu selepas melakukan 73 pukulan untuk muncul juara.
“Saya bermula dengan baik sejak permulaan dan saya juga amat gembira dapat mara ke Peringkat Akhir Kebangsaan kejohanan ini yang akan diadakan di The Els Club di Teluk Datai di Pulau Langkawi.
“Saya berharap dapat mencapai prestasi yang baik di Peringkat Akhir Kebangsaan kerana saya juga sudah biasa dengan lapangan itu. Saya telah bermain beberapa kali di sana,” kata Ahmad Sharul
Ahmad Sharul mengenepikan Ahmad Fadil Salleh yang bermain Hcp 4 yang berada tempat kedua selepas kedua-duanya mereka mendapat 73 pukulan.
Kumpulan B (Hcp 6 hingga 10) dimenangi oleh Nor Azhar Mohd Noor, Kumpulan C (Hcp 11 hingga 15) dimenangi oleh Datuk Fauzi Omar, Kumpulan D (Hcp 16 hingga 20) dimenangi oleh Zulkifli Mat Katib, dan Kumpulan E (Hcp 1 hingga 24) dimenangi oleh Datuk Wan Rosmadi Wan Ismail.
Kelima-lima pemenang dari Selangor itu akan bertanding di Pusingan Akhir Kebangsaan di Langkawi pada 22 hingga 24 Oktober ini.
Mereka akan bersaing bagi merebut tempat Perlawanan Akhir Dunia WAGC di Phuket, Thailand dari 4 hingga 11 November depan.-UTUSAN ONLINE