PETALING JAYA: Bintang olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romly berada dalam kelas tersendiri apabila merangkul pingat emas Grand Prix (GP) Olahraga Para Dunia 2023 di Stadium Olahraga Rades, Tunis, Tunisia semalam.
Muhammad Ziyad, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 yang juga juara dunia 2013 dan 2017 melakukan lontaran 15.93 meter (m) untuk mengungguli saingan lontar peluru F11/12/20 (masalah pembelajaran).
Atlet berusia 32 tahun itu mengetepikan cabaran Elbek Sultanov dari Uzbekistan yang mencatat lontaran 14.16m, manakala gangsa milik atlet Tunisia, Amir Soltane dengan 10.51m.
Abdul Latif menepati statusnya sebagai juara Paralimpik 2016 dan 2020 apabila melakukan lompatan bertenaga, 6.90m untuk menjuarai acara lompat jauh T13/20 (masalah intelektual).
Dia menewaskan peserta Arab Saudi, Hassan Dawshi yang merekodkan 6.08m untuk perak, manakala Mohamed Camara dari Guiena meraih gangsa selepas melakukan lompatan 5.12m.
Kejayaan menambah dua pingat emas pada hari terakhir kejohanan menyaksikan kontinjen negara cemerlang membawa pulang tiga pingat emas dan satu perak.
Isnin lalu, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi membuktikan masih berbisa apabila merangkul emas acara 100m T35/36 (kecacatan fizikal).
Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah pula berjaya meraih perak bagi acara 100m T11/12 (masalah penglihatan) dengan mencatat masa 11.67s. – UTUSAN ONLINE