LONDON: Legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane bertukar angin ke perlumbaan Formula Satu (F1) apabila menjadi duta pasukan Alpine.
Pengumuman tersebut dibuat pasukan Perancis tersebut dalam majlis memperkenalkan jentera baharu mereka, A523 bagi menghadapi musim 2023 di London, semalam.
Bekas bintang tengah Juventus dan Real Madrid itu, yang pernah mengemudi Los Blancos bagi dua era berbeza, dilihat melawat garaj Alpine dalam perlumbaan di Monaco musim lalu.
“Saya amat gembira untuk berada di sini dan gembira menjadi sebahagian daripada pasukan Alpine.
“Saya memiliki peluang untuk bertemu Laurent (Rossi, ketua pegawai eksekutif Alpine) dan bersama seluruh pasukan ini bagi setiap Grand Prix.
“Kami memiliki hubungan yang baik dan mereka memiliki projek untuk memberi peluang buat golongan muda. Saya amat tertarik dengan projek ini,” kata Zidane.
Dalam pada itu, Rossi mengakui penyertaan Zidane bersama Alpine akan menambah nilai pasukan berkenaan.
“Zinedine adalah tambahan yang luar biasa. Saya tidak mahu menyebutnya sebagai tambahan kepada pasukan, ia adalah seperti peningkatan pasukan,” katanya. – AGENSI