Wan Hasnul sasar jadi pemain profesional dua tahun lagi

Wan Hasnul sasar jadi pemain profesional dua tahun lagi

Sulaiman Md. Ali bersama tiga pemain remaja yang menerima isentif pada majlis Kecemerlangan Golf Remaja PGNM di Kelab Golf Ayer Keroh & Country, Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Juara keseluruhan Grand Final Sirkit Golf Elit Perdana Remaja Malaysia SportExcel NSC-MILO 2022, Wan Hasnul Daniel Wan Omar Zahdi, 18, bercadang beralih dari peringkat amatur ke profesional dalam tempoh dua tahun lagi.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh itu, dia sudah bertekad untuk menjadi pemain profesional mengikut jejak langkah pemain profesional negara, Shahriffuddin Ariffin yang juga pemain golf nombor satu Melaka.

Kata juara tertutup Remaja Malaysia 2022 itu, tempoh dua tahun diperlukan untuknya mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal sebelum menyertai pusingan kelayakan Q-School Jelajah Asia bagi membolehkannya bergelar pemain profesional.

“Ini idaman saya untuk menjadi pemain profesional dalam Jelajah Asia. Ini bukan tugas mudah kerana perlu fokus melengkapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk bersaing dengan pemain-pemain luar negara.

“Sepanjang tempoh tahun ini saya akan menyertai lebih banyak kejohanan golf remaja dan cuba menimba banyak pengalaman sebelum beralih ke peringkat profesional dalam tempoh dua tahun akan datang,” ujarnya.

Sulaiman Md. Ali berbual dengan Muhammad Adif Haikal Md. Hazan selepas Majlis Penyampaian Isentif Kecemerlangan Golf Remaja Melaka PGNM di Kelab Golf Ayer Keroh & Country (AKCC), Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Isentif Kecemerlangan Golf Remaja Melaka Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM) yang telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Kelab Golf Ayer Keroh & Country (AKCC) di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Wan Hasnul Daniel menerima RM2,140 dikuti Muhammad Adif Haikal Md. Hazan mendapat RM1,400 dan Wan Muhammad Daniel Hafiz Wan Zain menerima RM100 atas kejayaan sepanjang tahun lalu.

Katanya lagi, sebagai langkah awal dia menyasarkan untuk beraksi dalam Kejohanan Profesional Golf Malaysia (PGM) dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan ranking Golf Amatur Dunia (WAGR).

Sementara itu Muhammad Adif Haikal, 15, yang juga juara Tertutup Remaja Malaysia 2022 kategori B berkata, dia mensasarkan untuk memenangi lebih banyak kejohanan sepanjang tahun ini.

Dia yang juga juara Grand Final Sirkit Golf Elit Perdana Remaja Malaysia SportExcel NSC-MILO 2022 kategori B berhasrat untuk terus mempertingkatkan corak permainan khususnya ke peringkat antarabangsa.

“Di Kejohanan Golf Amatur Antarabangsa Indonesia berakhir semalam saya menduduki tempat kesembilan dan ini adalah pengalaman berharga buat saya walaupun melakar catatan 75 pukulan, 77 dan 76,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya