LIVERPOOL: Tandukan James Tarkowski pada separuh masa kedua menghadiahkan kemenangan pertama buat pengurus baharu Everton, Sean Dyche.
Lebih manis kemenangan 1-0 itu diraih ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal di Goodison Park, malam ini.
Kemenangan itu, menyaksikan The Toffees memenangi perlawanan pertama mereka sejak Oktober tahun lalu sekali gus keluar dari zon penyingkiran.
Dalam pada itu, meskipun tewas, The Gunners masih kekal mendahului lima mata ke atas Manchester City yang akan berkunjung ke Tottenham awal pagi Isnin.
Tarkowski memecah kebuntuan gol untuk tuan rumah pada minit ke-60 menerusi tandukan padu menewaskan penjaga gol, Aaron Ramsdale berpunca dari sepakan sudut Dwight McNeil
Everton kini berada di tangga ke-17, satu mata daripada zon penyingkiran.-AGENSI