PETALING JAYA: Skuad lelaki negara memilih laluan sukar apabila tumpas 1-2 kepada India dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia di Chennai, India, sebentar tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia muncul naib juara Kumpulan B dan perlu berdepan laluan getir bertemu pilihan pertama, Pakistan yang mengungguli Kumpulan A pada separuh akhir, esok.
Tuan rumah, India yang menjuarai Kumpulan B akan berdepan Korea Selatan dalam satu lagi separuh akhir.
Malaysia yang mempertaruhkan Harith Danial Jefri sebagai perseorangan pertama mengutip mata sulung negara apabila menewaskan Krishna Mishra 11-9, 7-11, 11-5, 11-4.
Bagaimanapun, India kembali mengikat kedudukan menjadi 1-1 apabila perseorangan kedua, Shamiel Haeyzad Shahrulhisam tumpas kepada Shaurya Bawa 8-11, 8-11, 9-11.
Pemain remaja berusia 16 tahun, Low Wa Sern yang turun selaku perseorangan ketiga berhempas pulas untuk memburu kemenangan, namun, dia gagal mendapatkan mata kemenangan Malaysia apabila akur kepada Paarth Ambani 11-9, 10-12, 7-11, 11-3, 4-11.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam ketika dihubungi berkata, bertemu Pakistan di separuh akhir bukan tugas mudah buat barisan pemain negara.
“Namun, saya percaya kepada kemampuan Wa Sern, Shamiel, Harith dan Hi Jia Rong, mereka mempamerkan prestasi yang baik.
“Cuma kita akui Pakistan merupakan sebuah pasukan yang kuat pada kejohanan kali ini,” katanya.
Nasib berbeza mengiringi skuad perempuan negara apabila mereka menepati sasaran selaku pilihan pertama untuk menjuarai Kumpulan A.
Pasukan perempuan yang merupakan juara bertahan akan berdepan India pada separuh akhir dengan pemain No. 65 dunia, Aira Azman mengetuai skuad Malaysia.
Selain Aira, pemain No. 103 dunia, J. Yasshmita, Whitney Isabelle Wilson dan Doyce Lee turut memperkuatkan skuad negara yang melakar kemenangan 3-0 ke atas Taiwan dalam aksi terakhir kumpulan siang tadi. – UTUSAN ONLINE