PETALING JAYA: Nasib berbeza mengiringi skuad remaja negara apabila pasukan perempuan menempah slot ke final, manakala, skuad lelaki terkandas di separuh akhir pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia di Chennai, India, sebentar tadi.
Skuad perempuan yang terlebih dahulu turun ke gelanggang mencipta kemenangan ke atas tuan rumah, India 2-1 dalam pertarungan yang berlangsung sengit.
Kem Malaysia cemas seketika apabila pemain No. 65 dunia, Aira Azman tewas mengejut kepada pemain muda India sedang meningkat naik Anahat Singh 9-11, 5-11, 11-4, 7-11.
Ketinggalan 0-1, pemain berusia 15 tahun kelahiran Sarawak, Whitney Isabelle Wilson meredakan tekanan yang melanda skuad negara apabila mengalahkan Yuvna Gupta 13-11, 11-8, 5-11, 9-11, 11-7.
Pemain ke-103 dunia, J. Yasshmita yang turun selaku perseorangan ketiga membawa misi berat untuk memburu mata kemenangan ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Pemain berusia 18 tahun itu menggalas tanggungjawabnya dengan baik walaupun dia mencetuskan suasana gemuruh apabila ditimpa kecederaan ketika pertembungan dengan Pooja Arthi terikat 1-1.
Namun, Yasshmita kembali bangkit selepas mendapatkan rawatan untuk melakar kemenangan ke atas Pooja 9-11, 11-4, 11-7, 15-13.
Malaysia yang membawa misi mempertahankan gelaran dimenangi mereka pada 2019 bertemu Hong Kong dalam perlawanan akhir, esok.
Hong Kong menewaskan Jepun 2-1 dalam satu lagi separuh akhir.
Sementara itu, skuad lelaki pula tumbang kepada pilihan pertama, Pakistan 0-2.
Pemain berusia 16 tahun, Harith Danial Jefri yang menggalas tugas sebagai perseorangan pertama tewas kepada Noor Zaman 11-13, 6-11, 6-11.
Ketinggalan 0-1, Shamie Haeyzad Sharulhisam yang turun sejurus selepas itu turut menerima nasib serupa apabila tumpas ditangan Muhammad Ashab Irfan 4-11, 8-11, 6-11.
Kekalahan kedua-dua pemain negara itu menyaksikan Low Wa Sern tidak perlu turun ke gelanggang bagi melengkapkan aksi separuh akhir tersebut.
Pakistan yang muncul sebagai pasukan pilihan juara akan menentang India yang mengalahkan Korea Selatan 2-1 pada final. – UTUSAN ONLINE