PETALING JAYA: Bekas ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli yakin pemilihannya bersama Sharon Wei sebagai Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Kemboja 2023 dapat membuatkan atlet negara berasa lebih selesa.
Shalin berkata, pemilihannya bersama bekas pemain skuasy wanita kebangsaan itu akan disenangi atlet memandangkan dia dan Sharon pernah merasai penat lelah sebagai atlet negara sebelum ini.
“Pemilihan kami menarik juga kerana kedua-dua bekas atlet dan saya rasa ini adalah cara untuk menyumbang kembali kepada persekitaran sukan negara. Atlet juga akan berasa lebih selesa dan mudah didekati.
“Kadang kala ada atlet yang susah percaya dengan orang lain tapi dengan orang yang pernah mengharungi ada pengalaman bertanding mewakili negara, mereka lebih senang dan terbuka.
“Selepas ini, kami akan berbincang dengan Ketua Kontinjen Sukan SEA Kemboja 2023 bagaimana untuk dekati atlet, terutamanya sebahagian besar atlet untuk kali ini adalah rata-rata atlet muda.
“Sebenarnya, mereka (atlet muda) ini merupakan pelapis untuk Sukan SEA seterusnya, jadi memang penting bagi kami terapkan nilai patriotisme. Saya dapati mereka juga ada kemahiran namun tiada sentuhan terakhir, jadi saya harap dapat berkongsi pengalaman bersama Sharon nanti,” katanya.
Semalam, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan pelantikan Shalin dan Sharon senagai Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Kemboja.
Shalin, 45, yang menghimpun 20 pingat emas boling wanita Sukan SEA dari Singapura 1993 hingga Filipina 2019 dan Sharon, 46, juga pemenang lima pingat emas skuasy, akan membantu Datuk Mohd. Nasir Ali pada temasya serantau dwitahunan ke-32 itu.
Dalam perkembangan lain, Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mahu melihat lebih banyak persatuan sukan berkualiti dilahirkan dan seterusnya dapat memperoleh penarafan lima bintang pada masa depan.
“PJS (pesuruhjaya sukan) ada cara nilai dan beri markah kepada mereka, jadi (saya) harap banyak lagi persatuan sukan tingkatkan urus tadbir dan hal kewangan supaya lebih banyak persatuan sukan berkualiti dilahirkan,” katanya.
Pada September lalu, lima persatuan sukan dianugerahkan taraf lima bintang pada majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 anjuran Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).
Lima persatuan itu ialah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Persekutuan Wushu Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Skuasy Raket Malaysia.-UTUSAN