SF-23 mampu kembalikan kegemilangan Ferrari

SF-23 mampu kembalikan kegemilangan Ferrari

Carlos Sainz (kiri), Frederic Vasseur (prinsipal pasukan) dan Charles Leclerc (kanan) bersama kereta SF-23 yang diperkenalkan di Maranello, Itali semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ferrari yakin, jentera baharu SF-23 yang tiba di ibu pejabat pasukan di Maranello semalam mampu membantu mereka mengalahkan Red Bull dan juara dunia, Max Verstappen pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim 2023.

Pasukan legenda dari Itali itu menutup kempen 2022 di tangga kedua, sama ada dalam kategori pemandu mahu pun pengeluar selepas saingan mereka diganggu beberapa isu teknikal yang membolehkan Red Bull serta Verstappen selesa merangkul kejuaraan.

Pemandu Ferrari tidak pernah memenangi kejuaraan dunia sejak Kimi Raikkonen pada 2007 dan gelaran pengeluar terakhir hadir setahun selepas itu, kemarau panjang bagi pasukan paling berjaya dalam F1 itu.

JENTERA Ferrari SF-23.

“Jelas, matlamat kami adalah mahu menang. Saya tidak sabar untuk kembali memandu kereta dan memenangi kejua­raan.

“Tahun lalu adalah satu langkah ke hadapan yang baik. Kami perlu melakukan perkara yang sama tahun ini dan semoga mendapat gelaran.

“Perasaan ketika menang memberi motivasi buat saya, memberi motivasi buat semua krew pasukan.

“Saya tidak sabar untuk kembali memasuki jentera dan memenangi kejuaraan,” kata ­pemandu Monaco, Charles Leclerc yang muncul naib juara dunia tahun lalu.

Leclerc yang menguji SF-23 di depan 500 penyokong pa­sukan di Maranello semalam berkata, dia dan rakan sepa­sukannya, Carlos Sainz diberi keistimewaan yang sama untuk memandu ‘senjata’ baharu ­Ferrari itu musim ini.

Sainz yang menduduki tempat kelima musim lalu de­ngan mata terbanyak ketika menjua­rai Grand Prix (GP) Bri­tain berkata, dia yakin untuk menyer­tai musim baharu yang akan bermula di GP Bahrain, bulan depan.

“Saya bekerja keras pada musim sejuk untuk bersedia sepenuhnya musim ini.

“Musim lalu, saya mengecapi sedikit kejayaan, ia bukan musim yang mudah tetapi saya sedar memang tiada musim yang mudah,” kata pemandu Sepanyol itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya