PETALING JAYA: Juara bertahan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Selangor MAC memulakan saingan pada musim ini dengan langkah kanan apabila membaham pendatang baru, PFA Odin Sarawak 5-1 dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.
Pesta gol Selangor MAC bermula seawal minit keenam apabila pemain import dari Brazil, Matheus Vasconcelos Silva menyempurnakan umpanan rakan sepasukan Syed Aizad Daniel untuk gol pertama perlawanan.
Selangor MAC terus meningkatkan asakan dan berhasil menambah jaringan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan Aidil Shahril Rosli.
Aksi di babak kedua menyaksikan penyandang juara liga itu terus mendominasi perlawanan dan menerusi satu gerakan pantas, mereka berjaya menghasilkan dua gol dalam tempoh tiga minit, masing masing menerusi Aidil Izwan Mazlan dan Muhd Bukhari Samsudin.
Pasukan pelawat cuba untuk mendapatkan jurang, dan usaha mereka berhasil apabila Georgi Kinkladze Tom berjaya menembusi gawang Selangor MAC pada minit ke 33.
Bagaimanapun derita PFA Odin Sarawak tidak tamat disitu sahaja, apabila Wan Muhammad Nur Azhar tertampan bola ke gawang sendiri pada penghujung perlawanan sekaligus memberikan kemenangan besar 5-1 ke atas tuan rumah.