PETALING JAYA: Bekas perseorangan No. 1 Dunia, Roslin Hashim sanggup mengenepikan perbezaan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengembalikan kegemilangan badminton negara di persada antarabangsa setelah dijemput membarisi Panel Penasihat Teknikal badan induk tersebut kelmarin.
Roslin dijemput membarisi panel tersebut bersama-sama enam lagi legenda badminton negara diterajui pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei, bekas perseorangan lelaki negara,Ong Ewe Hock, bekas beregu lelaki No. 1 Dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit.
Ketujuh legenda negara ini akan bekerjasama dengan tujuh lagi panel yang akan dipengerusikan Presiden BAM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, dan dibantu dibantu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, Naib Presiden BAM, Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong, serta bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz.
Sebelum ini, Roslin bertegang urat dengan BAM apabila kerap memberi kritikan terhadap badan induk itu sehingga wujud konflik antara kedua-dua pihak.
“Saya akui sebelum ini saya dan BAM tidak sehaluan, namun apabila saya dijemput untuk membarisi panel ini, saya merasakan ia satu langkah yang bagus, dan saya memang mahu membantu untuk menaikkan semula mutu badminton negara, jadi saya sedia untuk melupakan apa sahaja persengketaan saya dengan BAM sebelum ini.
“Ini adalah kerja sukarela dan tiada bayaran, jadi tiada isu saya saya akan mendapat bayaran elaun dan sebagainya, kerana saya lakukan ini memang cinta saya terhadap sukan badminton dan mahu melihat Malaysia kembali menjadi negara terkuat.
“Kalau dilihat panel yang dipilih bukan calang-calang dan mempunyai reputasi tersendiri, jadi saya harap segala usul cadangan yang akan dibentangkan nanti mampu diterima baik oleh semua pihak,” jelas Roslin yang dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Panel Penasihat Teknikal ini ditubuhkan bagi memberikan nasihat dan bimbingan strategik kepada pihak Lembaga dan Pengurusan Akademi Badminton Malaysia (ABM) bertujuan untuk meningkatkan prestasi barisan pemain negara dalam jangka masa panjang, dalam usaha meraih kedudukan podium di peringkat Sukan Olimpik, sukan temasya serta kejohanan dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Persidangan pertama panel ini dijangka akan dilakukan pada penghujung Februari 2023.-UTUSAN