PETALING JAYA: Skuad perempuan Malaysia mempertahankan gelaran yang dimenangi buat kali keempat berturut-turut selepas menundukkan seteru ketat, Hong Kong 2-0 dalam perlawanan akhir pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia 2023 di Chennai, India, semalam.
Kali terakhir pasukan negara merangkul gelaran ialah pada 2019 mengetepikan lawan yang sama.
Pertembungan kedua-dua pasukan di pentas akhir juga adalah buat kali keempat berturut-turut dalam kategori perempuan.
Namun, secara keseluruhan Malaysia dan Hong Kong telah bertemu pada perlawanan akhir sebanyak 10 kali dalam sejarah kejohanan berpasukan remaja Asia dengan skuad negara mengungguli gelaran sebanyak enam kali, manakala, Hong Kong empat kali.
Dalam final, semalam, pemain ke-65 dunia, Aira Azman, 18, yang diletakkan selaku perseorangan pertama melaksanakan tugasnya dengan baik setelah menewaskan Wai Sze Wing menerusi kemenangan straight set 11-2, 11-9, 11-5.
Rakan sepasukan, J. Yasshmita yang menghuni ranking ke-103 dunia berdepan tentangan sengit sebelum menundukkan Toby Tse 11-5, 7-11, 11-9, 9-11, 11-7 dalam aksi kedua yang sekali menyaksikan Malaysia melakar kemenangan 2-0.
Kejayaan itu juga memadai untuk meletakkan anak-anak buah Andrew Cross mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka tanpa memerlukan pemain remaja berusia 15 tahun, Whitney Isabelle Wilson turun ke gelanggang untuk melengkapkan pertemuan tersebut.
Untuk Aira dan Yasshmita, aksi final tersebut adalah yang terakhir buat mereka kerana telahpun melepasi had umur dan Whitney serta Doyce Lee yang baharu berusia 15 tahun bakal meneruskan cabaran pasukan negara pada kejohanan diperingkat remaja akan datang.-UTUSAN