LONDON: Erik ten Hag mahu Manchester United menjadikan kejayaan menjuarai Piala Liga sebagai batu loncatan untuk memburu kejuaraan lebih besar.
United meraih trofi pertamanya dalam tempoh enam tahun selepas tandukan Casemiro dan gol sendiri Sven Botman membantu mereka menumpaskan Newcastle United 2-0 di Wembley, awal pagi tadi.
Musim pertama Ten Hag sebagai pengendali United berjaya mengubah kelab yang sedang bergelut itu sejak dia tiba dari Ajax tahun lalu.
Pengendali dari Belanda itu membawa United ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, dan kekal dalam pemburuan Piala FA serta Liga Europa musim ini.
Persembahan mantap United menentang Newcastle, yang terdesak menamatkan kemarau 54 tahun untuk menjulang trofi, menunjukkan impak dibawa Ten Hag.
Winners win. pic.twitter.com/fYQuHc9lZ6
— Manchester United (@ManUtd) February 26, 2023
“Trofi menunjukkan anda berada di landasan betul. Ia satu piala dan sekarang baru Februari, jadi ia menunjukkan kami menuju ke arah yang betul.
“Kami perlu meneruskan rentak ini dan tidak mudah berpuas hati kerana rasa puas akan mewujudkan perasaan malas. Anda tidak akan memenangi sebarang trofi jika malas,” kata Ten Hag.
United tidak pernah memenangi Liga Perdana sejak musim terakhir Alex Ferguson pada 2013 dan mereka hanya melihat seteru tetangga, Manchester City menjadi kuasa besar di England sepanjang tempoh itu.
Memenangi Piala Liga hanyalah perkara kecil ketika era Ferguson, namun Ten Hag menegaskan ia penting dalam usahanya mencetus kebangkitan di Old Trafford dan sebagai bukti kepada pemain-pemainnya terhadap apa yang mampu mereka capai jika mereka mengikuti falsafahnya. – AFP