TEHRAN: Perlawanan akhir Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Iran esok bakal menemukan dua gandingan negara, Teoh Mei Xing-Hoo Pang Ron yang akan berentap dengan Toh Ee Wei-Chen Tang Jie selepas mereka berjaya menewaskan lawan masing di peringkat separuh akhir sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Dewan Sukan Persatuan Badminton Iran, Pang Ron dan Mei Xing tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan pasangan Indonesia, Aisyah Salsabila Putri Pranata-Jafar Hidayatullah dengan keputusan 21-16, 21-12 dalam tempoh 27 minit.
Bagaimanapun Ee Wei dan Tang Jie pula dipaksa bekerja keras untuk meraih tiket ke perlawanan akhir apabila menentang Nita Violina Marwah dan Adnan Maulana dari Indonesia.
Selepas bertarung selama 49 minit, kemenangan akhirnya berpihak kepada pasangan Malaysia dengan kemenangan 22-20, 16-21, 9-21.
Kemaraan dua pasangan negara ke pentas final esok secara tidak langsung sudah memastikan Malaysia bakal menjadi juara dalam acara ini.
Malaysia berpeluang untuk menambah wakil dalam perlawanan akhir esok apabila Justin Hoh yang beraksi dalam acara perseorangan lelaki sebentar nanti akan menentang pemain Indonesia, Alvi Wijaya Chairullah.