PETALING JAYA: Jersi baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dilancarkan semalam mendapat sambutan hangat daripada penyokong setia skuad Harimau Selatan yang rata-rata menganggap jersi pada musim ini sangat unik dan menarik.
Pelancaran jersi yang dilakukan di Stadium Sultan Ibrahim semalam menyaksikan JDT yang dimiliki Tunku Ismail Sultan Ibrahim meneruskan kerjasama dengan pengeluar pakaian sukan ternama dunia, Nike buat kali kesembilan sejak 2014.
Bagi jersi tuan rumah, warna merah biru yang cukup sinonim dengan bendera Johor dikekalkan dengan menggunakan corak ‘camouflage’ yang nampak lebih bergaya apabila buat pertama kalinya tampil dengan rekaan berkolar.
Jersi di tempat lawan pula kelihatan lebih santai dengan warna putih sebagai asas dan dihiasi jalur merah dan biru pada bahagian lengan dan belakang jersi.
Tinjuan Utusan Malaysia di rungan komen laman rasmi JDT mendapati, penyokong mereka berpuas hati dengan rekaan jersi musim ini selain tidak sabar untuk membelinya sebagai koleksi.
“Macam ini punya gaya jersi, hujung musim main bunga api,” kata Mohamad Zaki Abu Naaem
Sementara itu, Sfull Izanie berkata, dia sudah membeli jersi kedua JDT kerana tertarik dan nampak sangat cantik
“Mula-mula aku minat away bila dah beli tngok dekat-dekat lagi smart home…pening arr,” kata Is Kandar.
“Mula-mula tengok gambar macam tak lawa…Tetapi bila tengok video pemain pakai jersi baru home dan away..fuh padu amat,” kata Ahmad Kamaluddin Muhiddin.
Jersi itu boleh didapati di stor dalam talian JDT serta pengedar-pengedar berdaftar Southern Tigers Sdn. Bhd. (STSB) di semua daerah di Johor pada harga RM299 sehelai untuk dewasa dan RM235 bagi kanak-kanak.-UTUSAN ONLINE