PETALING JAYA: Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak sabar menantikan ‘sentuhan’ Khairy Jamaluddin (KJ) sebaik sahaja pelantikan bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah kelab serta Penasihat Belia Johor diumumkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menyifatkan pelantikan Khairy sebagai tindakan ‘berani’ dan tepat, mereka percaya keputusan pemilik JDT itu mampu melonjakkan lagi juara Liga Super sembilan kali berturut-turut tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia di ruangan komen di media sosial rasmi JDT mendapati, rata-rata penyokong meninggalkan reaksi positif dan tidak sabar untuk melihat perubahan yang dibawakan oleh bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
“Hanya jauhari mengenal manikam…Orang cerdik dapat menilai orang yang pandai,” kata Rosli Abdul Rahman di Facebook Johor Southern Tigers.
“Penasihat Belia Johor. Wow… ini satu tugas yang mencabar, tetapi Insyaallah Khairy akan dapat meningkatkan lagi peranan Belia di Negeri Johor. Syabas KJ,” kata Bakar Ghaffar.
Sementara itu. Mohd. Azharuddin Mohd. Nazdri percaya, gandingan hebat Khairy dan Tunku Ismail mampu memperkasakan lagi JDT.
“Bagus juga Khairy dapat bekerjasama dan berkongsi pengetahuan bersama TMJ (Tunku Mahkota Johor)…Nanti naik (dilantik semula) Menteri Belia dan Sukan makin besar idea,” katanya.
“Tahniah KJ…Pelantikan yang sangat tepat, pengalaman yang sangat luas dalam Kementerian Belia dan Sukan dan antara orang penting yang menubuhkan Akademi Mokhtar Dahari,” kata Amir Firdaus.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/Khairy-1-600x371.jpg)
Terdahulu, Tunku Ismail di media sosialnya semalam mengumumkan pelantikan Khairy sebagai Ahli Lembaga Pengarah JDT dan Penasihat Belia Johor berkuatkuasa serta merta.
“Saya telah bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.
“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor,” tulis kenyataan di laman sosial rasmi Tunku Ismail.