PETALING JAYA: Pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn digantung daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini.
Ia selepas Hanis didapati bersalah kerana menulis komen berbaur perkauman berhubung konsert artis dan komposer legenda India, AR Rahman pada 28 Januari lalu.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat di antara Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada 7 Februari lalu.
Hasil siasatan dan penjelasan yang membabitkan Hanis dan jurulatih pasukan kebangsaan, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim, jawatankuasa siasatan MSN dan MHC merumuskan pemain berkenaan didapati bersalah atas komen yang dilakukannya.
Hanis mengakui telah memuatnaik komen ‘bau best la kat dalam tu’ beserta emoji ketawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert di akaun Instagramnya.
Pemain yang berasal dari Kluang, Johor itu bagaimanapun menegaskan dia tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaik kandungan tersebut yang dianggapnya sekadar jenaka malah ayat-ayat itu hanyalah merujuk kepada keadaan stadium yang dipenuhi puluhan ribu penonton.
Dia kemudian memadam komen itu pada pagi 29 Januari 2023 dan memohon maaf secara terbuka di laman media sosial selepas menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur pengguna internet.
Kata Hanis, 26, dia amat kesal dengan keterlanjuran tersebut dan menegaskan bahawa dia bukan bersifat perkauman ‘racist’ dan membesar dalam masyarakat majmuk serta memiliki ramai rakan berbangsa India, terutama sepanjang bergelar atlet kebangsaan.
Menurut kenyataan itu, MHC akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh berkenaan.
“Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran ataupun ciapan di semua platform media sosial,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE