KUANTAN: Gergasi futsal pantai timur, Pahang Rangers bermula dengan langkah kanan dalam aksi pertama mereka di Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) apabila membelasah Sabah 9-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan sebentar tadi.
Pahang tidak perlu menunggu lama apabila import baru mereka dari Iran, Amin Nasrollah Zadeh meledak sejak minit pertama permainan untuk memulakan pesta gol skuad Tok Gajah di Kuantan.
Alif Mat Amin kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke 13, sebelum Khaiyum Khaimi, Hamdin Zarif Mahmun serta Ridzwan Bakri melebarkan jurang buat Pahang untuk menjadikan kedudukan 5-0 pada separuh masa pertama.
Aksi di babak kedua menampilkan skrip sama apabila skuad Sabah terus dibedil tuan rumah dengan Amin Nasrollah meledak dua lagi gol, masing masing pada minit ke 22 dan 32 untuk hatrik pertamannya bersama Pahang Rangers.
Ridzwan Bakri juga tidak ketinggalan untuk turut sama bergelar penjaring hatrik dalam perlawanan ini apabila meledak dua gol dalam tempoh dua minit, sekaligus melengkapkan malam gemilang Pahang Rangers di Kuantan.
Sabah sempat meraih gol saguhati apabila Hamdin Zarif tidak sengaja tertampan bola ke gawang, seminit sebelum wisel penamat dibunyikan.