PETALING JAYA: Perak FC dibentuk bukan sekadar untuk bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebaliknya mempunyai misi lebih besar iaitu menjadi salah satu pasukan ‘pembekal’ melahirkan pemain berkualiti buat skuad negara.
Pengendalinya, Datuk Lim Teong Kim mengambil pendekatan untuk mengetengahkan pemain-pemain muda pada saingan musim ini dan berharap peminat Perak FC bersabar menanti ‘benih’ yang akan kembang mekar tidak lama lagi.
Katanya, beberapa episod kekalahan dalam aksi pramusim sebelum ini tidak boleh dijadikan rumusan mengenai keupayaan pasukannya.
“Saya lakukan demi masa depan kerana jika pemain muda tidak diberikan peluang bermain, bagaimana pasukan kebangsaan kita hendak maju.
“Ini adalah masalah kepada dunia bola sepak bukan sahaja di Malaysia tetapi melanda beberapa negara Eropah seperti England, Itali dan Jerman dan saya tidak mahu perkara seperti ini berulang.
“Kepentingan saya adalah secara keseluruhan, bukan untuk menang saja atau seri, atau kalah. Ini adalah untuk bola sepak Malaysia.
“Saya juga melihat kepada persembahan individu dengan keputusan perlawanan sama ada menang atau kalah adalah perkara kedua,” kata bekas jurulatih Akademi Bayern Munich di Jerman itu.-UTUSAN