LONDON Erik ten Hag berkata, Manchester United dibina memang untuk memenangi piala selepas menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi dengan muncul juara Piala Liga, menewaskan Newcastle United 2-0 semalam.
Pengendali kelahiran Belanda itu juga menegaskan, kemenangan di Wembley hanya permulaan kepada lebih banyak kejayaan bakal diraih Red Devils.
Jaringan Casemiro pada minit ke-33, diikuti gol sendiri Sven Botman enam minit berselang menghadiahkan kejuaraan pertama buat United sejak muncul juara Liga Europa 2017.
“Anda perlu memenangi yang pertama, dan itulah yang kami lakukan hari ini. Kami mendapat banyak inspirasi daripada kejayaan ini dan lebih yakin boleh melakukannya.
“Saya fikir kami baru sahaja mula memulihkan Manchester United dan memenangi trofi adalah permulaan,” katanya.
Kem United selama ini bergelut dengan prestasi sejak pengurus legenda, Sir Alex Ferguson membuat keputusan meninggalkan pasukan pada 2013.
Kehadiran ten Hag berbeza dengan pengurus lain yang cuba mengisi kekosongan Ferguson apabila mampu memastikan United kekal konsisten, selain menyatupadukan pemain.
“Saya hanya mahu menang, kami sudah banyak membuat pelaburan. Kejayaan ini buat semua pihak, termasuk penyokong yang mempunyai kemahuan tinggi untuk mendapatkan trofi.
“Raphael Varane, Casemiro, David de Gea pemain yang tahu bagaimana untuk memenangi piala, dan anda perlukan pemain sebegini dalam padang,” jelas ten Hag.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe menunjukkan reaksi berbeza sejurus perlawanan tamat apabila menegaskan perlu ada kaedah bagi mengurangkan jurang antara pasukan atasan liga di England.
“Saya minta maaf kami tidak dapat menghadiahkan kemenangan kepada penyokong hari ini (semalam), persaingan yang kami sertai kini di tahap tertinggi, dan kami perlu kurangkan jurang itu.
“Perlawanan akan ditentukan dengan elemen kecil di atas padang, dan kami perlu segera memperbaiki keadaan dengan harapan kami mampu menikmati hari-hari perlawanan sebegini lagi di masa hadapan,” jelas Howe. – AGENSI