PETALING JAYA: Impian perseorangan wanita profesional negara, K.Letshanaa untuk membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA Kemboja, Mei depan hampir menjadi kenyataan apabila dia kembali diserapkan sebagai pemain kebangsaan.
Berita gembira itu hadir sehari selepas Letshanaa berjaya merangkul kejuaraan sulungnya tahun ini dengan mengungguli Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Uganda kelmarin.
Pemain berusia 21 tahun itu menampilkan aksi membanggakan untuk menewaskan pemenang pingat gangsa Kejohanan Eropah, Neslihan Yigit dari Turki, 21-11, 21-8 dalam perlawanan akhir.
“Saya amat gembira untuk memenangi gelaran ini, lebih lebih menentang pemain yang bagus seperti Yigit dalam perlawanan akhir.
“Saya harap kejayaan ini akan meningkatkan lagi keyakinan saya pada masa akan datang kerana menjadi seorang pemain profesional bukanlah mudah.
“Jika saya diberikan peluang itu (beraksi di Sukan SEA), saya akan mencuba yang terbaik, tetapi semuanya bergantung kepada barisan jurulatih kebangsaan,” jelas Letshanaa.
Pemain kelahiran Selangor itu akan mula melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara esok, sekali gus menjadi perseorangan kelima dalam kem kebangsaan selepas Siti Nurshuhaini Azman, Ooi Shan Zi, Wong Ling Ching dan Tang Zhing Yi.
Sebelum ini, Letshanaa terpaksa mengundur diri dari skuad kebangsaan gara-gara bergelut dengan kecederaan belakang, namun dia kembali aktif semula apabila beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma), September lalu untuk meraih pingat perak.
“Saya hanya bermula beraksi sekitar Ogos lalu, dan ketika itu ranking sekitar 530 tetapi kini saya berada di tangga ke-113 dunia.
“Harap kejayaan ini akan membantu menaikkan lagi kedudukan saya,” katanya.