Kisah Azizulhasni jadi inspirasi – Beasley

Kisah Azizulhasni jadi inspirasi – Beasley

AZIZULHASNI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kagum dengan kemampuan Datuk Azizulhasni Awang menaiki podium kejohanan bertaraf dunia, kurang 12 bulan selepas menjalani pembedahan jantung, jurulatih berbasikal negara, John Beasley menyifatkan jaguh trek itu sebagai luar biasa dan inspirasi kepada generasi baharu.

Kelmarin, Azizulhasni yang menginjak usia 35 tahun pada 5 Januari lalu memenangi pi­ngat perak acara keirin pada Piala Negara-Negara (dulu dikenali Piala Dunia) di Jakarta.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mencatat 10.263 saat (s), hanya tewas tipis 0.024s di belakang juara, Harrie Lavreysen dari Belanda. Gangsa dimenangi pelumba Israel, Mikael Yakovlev dengan masa 10.423s.

“Dalam keirin, Azizulhasni telah mempamerkan prestasi luar biasa sebagai pemenang. Selepas lapan bulan pembedahan jantungnya, dengan meraih podium pula malam ini, memang sangat hebat.

“Dia adalah juara. Untuk bertanding dan menamatkan perlumbaan di kedudukan podium bersama pelumba terbaik dunia selepas melakukan pembedahan jantung sesuatu yang menakjubkan.

“Dia menjadi inspirasi dan ia cerita yang menarik untuk ge­nerasi pada masa akan datang,” kata Beasley kepada Utusan ­Malaysia.

Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai Jijoe membuat penampilan sulung selepas menjalani pembedahan jantung terbuka, April lalu pada Liga Negara-Negara UCI di Mallorca, Sepanyol, November lepas.

Kemenangan kelmarin membuktikan beliau berada di landasan tepat untuk mencapai prestasi terbaiknya dalam misi melayakkan diri ke Sukan ­Olimpik Paris 2024.

Bagi Azizulhasni, yang me­raih pingat perak Olimpik 2020 di Tokyo, kejayaan yang diraih di Jakarta mengejutkan dirinya sendiri.

“Syukur alhamdulillah. Macam sukar untuk saya percaya, kurang 12 bulan yang lalu saya menjalani pembedahan jantung dan kini saya kembali ke puncak dunia berdiri di atas podium,” tulisnya di Instagram.

Kejohanan yang menawarkan mata kelayakann Olimpik 2024 itu turut dibarisi seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menduduki tangga keenam.

Wakil kedua Malaysia itu gagal menamatkan saingan di pusingan terakhir ekoran terjatuh dengan pelumba New Zealand, Sam Dakin.

Mengulas mengenai situasi Shah Firdaus, Beasley mengakui pelumba berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan namun sangat berpuas hati dengan kemampuannya untuk mara hingga ke pusingan akhir.

“Kami ada meminta Shah untuk mara ke final, dan dia dapat. Cuma agak malang untuknya kerana berlaku kemalangan dan dia kehilangan sedikit kulit kerana kecederaan,” katanya. 

Sementara itu, dalam pecut wanita, dua pelumba negara, Nurul Izzah Izzati Asri dan Anis Amira Rosidi gagal melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya