KOTA BHARU: Skuad Kelantan FC sudah melengkapkan sembilan kuota pemain import sekaligus memberi ‘isyarat’ mereka bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.
Pemiliknya, Norizam Tukiman atau Zamburger bagaimanapun berkata, dua lagi tenaga import akan diumukan dalam masa terdekat selepas urusan melibatkan visa diselesaikan.
“Salah seorang dari dua pemain itu adalah dari Nigeria. Seorang lagi merupakan pemain kebangsaan sebuah negara yang belum boleh saya dedahkan.
“Namun saya boleh pastikan urusan kemasukannya ke pasukan ini sudah 99 peratus lengkap untuk sepak mula pada 25 Februari nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Barisan Pemain Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Musim 2023, Kelantan FC mengekalkan warna merah untuk jersi utama dan memilih warna oren bagi jersi kedua, manakala jersi ketiga akan menggunakan warna ungu.
Zamburger memberitahu, musim ini The Red Warriors (TRW) mengekalkan lebih 50 peratus pemain lama dan sebahagian besar barisan kejurulatihan.
Katanya, pada masa sama TRW menambah dua tenaga jurulatih dari Korea Selatan termasuk pengendali utama pasukan Choi Moon-sik.
“Musim ini, Kelantan FC selesa bergelar pasukan ‘underdog’. Saya juga kekal dengan sasaran menjadi 10 pasukan terbaik sebagai pendatang baharu di liga utama negara.
“Sekiranya kita berjaya capai sasaran tersebut pada pusingan pertama, kita pertingkatkan sasaran untuk lima pasukan terbaik Liga Super. Untuk sasaran Piala Malaysia dan Piala FA pula kita lihat dahulu perjalanan pasukan dalam liga,” ujarnya.
Anak jati dari selatan tanah air itu berkata, bagaimanapun dia berharap agar Kelantan FC mampu maju sehingga ke peringkat suku akhir dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia untuk musim ini.
“Kalau boleh saya mahu pasukan ini bergelar juara. Siapa yang tak mahu jadi juara tetapi kita letak sasaran bersesuaian dengan kemampuan kita pada masa ini,” katanya.-UTUSAN