Jika Hanis rasis, saya paling terasa - jurulatih

Jika Hanis rasis, saya paling terasa – jurulatih

HANIS Nadiah Onn (berdiri tengah, empat dari kiri) meraikan kejayaan Negeri Sembilan menjulang Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia selepas menumpaskan KPT-United Thunder 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki wanita Negeri Sembilan, K. Rajan mempertahankan dakwaan rasis yang dilemparkan terhadap Hanis Nadiah Onn, malah menegaskan komen yang dilontarkan pemain itu di media sosial bukan isu yang terlalu besar.

Kelmarin, penyerang berusia 27 tahun itu digantung daripada mewakili negara dalam sebarang kejohanan, termasuk Sukan SEA di Kemboja,

Mei ini gara-gara dikatakan menulis komen berbaur perkauman mengenai konsert komposer terkenal India, AR Rahman bulan lalu.

“Saya orang India, saya yang akan terasa hati terlebih dahulu tetapi dia (Hanis) tidak rasis.

“Tiada isu. Ya, boleh dianggap dia melakukan kesilapan tetapi bukannya dia cakap ‘keling’ ke apa. Dia tidak merujuk secara spesifik pun kepada siapa.

“Saya sudah lama kenal dia, sejak dia bersama pasukan kebangsaan hampir sedekad lalu. Dia bermain dengan kami (Ne­geri Sembilan) dan membantu kami muncul juara liga serta naib juara secara keseluruhan,” katanya sejurus membawa Negeri Sembilan muncul juara Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (LHWM) kelmarin.

Hanis yang turut menjadi tonggak Negeri Sembilan ketika menumpaskan KPT-United Thunder 2-1 dalam aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu mengakui, dia menerima hukuman dengan hati terbuka.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kluang, Johor itu berkata, kontroversi tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk kembali merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

“Saya terima dengan hati terbuka dan harap tidak me­ngulanginya.

“Begitu juga de­ngan semua atlet lain, saya harap mereka berhati-hati dengan komen yang dibuat. Saya sedar, sebagai atlet, ada batas perlu dijaga.

“Sekarang, saya mahu fokus kepada saingan liga. Satu trofi sudah kami miliki, jadi komitmen saya amat dituntut untuk memburu dua lagi trofi.

“Soal mewakili pasukan kebangsaan, saya tak mahu fikirkan sangat, yang penting saya terus tunjuk prestasi terbaik dan jika jurulatih anggap saya masih releven pada masa akan datang, saya sedia mewakili pasukan kebangsaan,” katanya.

Tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menggantung Hanis gara-gara komen ‘bau best la kat dalam tu’ di ­Instagram, merujuk kepada kehadiran penyokong ketika konsert di Bukit Jalil pada 28 Januari lalu telah mencetus pelbagai perbalahan.

Ada yang menyokong hukuman tersebut, malah tidak kurang yang menyelarnya ­dengan menganggap kata-kata itu tidaklah keterlaluan, ditambah pula Hanis sudah memohon maaf sejurus komennya tular di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya