PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terlalu ampuh di semua posisi dari gawang, pertahanan, tengah sehinggalah serangan yang mampu menghadirkan rasa gerun kepada Terengganu FC apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga M) 2023 malam ini.
Kepulangan penyerang berbisa mereka, Diogo Luis Santo menjadikan Harimau Selatan semakin menggerunkan, sekali gus pilihan utama untuk memenangi perlawanan Sumbangsih dan mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.
“Saya percaya gandingan Diogo dengan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri bakal mengkucar-kacirkan pertahanan Terengganu FC, persiapan pra musim mereka juga dilihat mantap dan mengukuhkan keserasian antara pemain.
“Untuk Terengganu FC, kita masih tertanya-tanya kekuatan mereka yang dibarisi jentera import dan jurulatih baharu. Apa yang kita tahu beberapa pemain sedia ada yang tidak kurang hebatnya seperti Faiz Nasir dan Habib Haroon.
“Jadi, saya pilih JDT ada kelebihan besar untuk menang, namun mereka tidak boleh memandang mudah cabaran skuad kendalian Tomislav Steinbruckner yang boleh mengubah skrip di atas padang sekiranya terlalu diberikan ruang,” kata bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam kepada Utusan Malaysia.
Our campaign starts tomorrow 😎
More photos at https://t.co/ONnm6e9lc1#JDT#WhatCanYouDo#TrainingSession#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/RZTVtjMHQk
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) February 23, 2023
Harimau Selatan di bawah kendalian jurulatih baharu, Esteban Solari melalui persiapan pra musim yang mantap di Dubai apabila bertemu gergasi Eropah seperti FC Rostov, Levski Sofia, Lokomotiv Moscow dan Zenit St Petersburg serta satu kelab UAE, Fursan Hispania.
Sementara Terengganu FC pula terbang ke Thailand untuk kem pra musim dengan menghadapi empat perlawanan bertemu tiga kelab Thailand dan satu kelab Denmark, FC Odense.
Mengulas lanjut, Shahrom berkata, jika mahu melakukan kejutan ke atas JDT, anak buah Steinbruckner perlu menguasai bahagian tengah dan mengunci pergerakan Leandro Velazquez serta Arif Aiman Hanafi yang dijangka akan menjadi nadi pergerakan Harimau Selatan.
“Segalanya-galanya terpulang kepada taktikal jurulatih. Jika Terengganu menggunakan sistem ‘open play’ saya percaya, permainan akan didominasi oleh JDT. Dahulu ketika era Nafuzi Zain, Terengganu bermain ‘open play’ jadi, jadi saya rasa kaedah sama akan digunakan,” katanya.