PETALING JAYA: Biarpun menjadi pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut, namun pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya meletakkan tiga kedudukan teratas sebagai sasaran yang perlu dicapai Harimau Selatan musim ini.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga meletakkan sasaran terlalu sederhana dalam saingan Piala Malaysia dan Piala FA dengan menetapkan untuk melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir.
JDT yang menjuarai empat trofi musim lalu akan memulakan kempen mempertahankan Liga Super dengan menentang Terengganu FC dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.
“Bagi Piala Malaysia, kita ada strategi untuk meletakkan lebih pemain muda supaya mereka mendapat minit dan pengalaman, jadi kita boleh beri fokus dengan agenda yang lain.
“(Piala Malaysia) dapat masuk suku akhir ataupun separuh akhir dengan barisan kami (pemain) yang muda-muda,” kata Tunku Ismail menerusi klip video yang dikongsi oleh Johor Southern Tigers
HRH Major General Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Crown Prince of Johor speaks about the 2023 season, JDT's targets and the new Southern Tigers Kit [With English subtitles]
Watch the full video at https://t.co/UXJWU8xIT7 pic.twitter.com/on0QrDpA9m
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) February 21, 2023
Bagaimanapun untuk saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Tunku Ismail berharap pasukannya dapat mengulangi prestasi musim lalu dengan melepasi peringkat kumpulan.
“Untuk AFC Liga Juara-Juara (ACL), kami harap dapat melepasi peringkat kumpulan kerana macam mana pun, saya tetap realistik dengan sasaran ACL disebabkan kualiti pasukan-pasukan yang bertanding kerana mereka sudah lama bertapak daripada kita.
“Kami tetap projek yang lebih muda atau macam orang kata, projek yang lebih baru, jadi sasaran realistik ialah melepasi peringkat kumpulan atau kalau ada rezeki, jika dapat sampai ke suku akhir,” katanya.
Musim lalu JDT sekali lagi berjaya mencipta sejarah baharu apabila menjadi kelab Malaysia yang pertama berjaya mara ke pusingan 16 akhir ACL, selain menyapu bersih empat trofi yang ditawarkan di peringkat domestik.
Sasaran yang diletakkan oleh TMJ boleh dikatakan sangat ‘merendah diri’ berikutan pada musim ini mereka melakukan persiapan yang cukup rapi termasuk membawa masuk ramai pemain-pemain import berkualiti. – UTUSAN ONLINE